KEPELBAGAIAN sajian yang tersusun rapi di segenap sudut dan ruang Royale Coffehouse, Hotel Royale Chulan Damansara, menawarkan pengalaman yang pasti mengujakan pelanggan apabila menu yang disajikan bukan hanya terhad kepada masakan tradisional Melayu seperti kelaziman hidangan berbuka puasa.
Sebaliknya, Bufet Ramadan Warna Rasa menawarkan kepelbagaian cita rasa daripada pelbagai bangsa, selari dengan konsep kebersamaan masyarakat dalam meraikan pelbagai perayaan di negara ini.
Eksekutif Chef, Anwar Abdul Majid berkata, Warna Rasa menampilkan kepelbagaian luar biasa dengan mengetengahkan konsep gerai makanan. Katanya, terdapat lebih 30 gerai makanan yang setiap satunya menyediakan kira-kira tujuh jenis hidangan.
“Secara keseluruhan, jumlah menu yang ditawarkan dianggarkan melebihi 500 jenis, merangkumi pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut.
“Rasa masakan dan pengalaman tetamu sangat penting. Kami mahu mereka merasai sesuatu yang sukar ditemui di tempat lain,” katanya ketika ditemui Bisnes Sinar baru-baru ini.
Antara hidangan yang mencuri perhatian ialah masakan Melayu tradisional seperti asam pedas Melaka bersama telur ikan, asam pedas ikan siakap, daging masak hitam, selain kari kepala ikan Pulau Pinang.
Turut diketengahkan ialah elemen masakan Cina dan Mamak termasuk oyster omelette, char koay kak dan char kuey teow Pulau Pinang.
Bagi penggemar hidangan Barat, turut disajikan pasta yang dimasak secara langsung serta daging Wellington.
“Kami cuba membawa menu yang orang tidak jangka akan ditemui di hotel. Itulah yang membezakan pengalaman berbuka puasa di sini,” ujar Anwar.
Kambing panggang, nasi kabsah tarikan utama bufet
Dalam pada itu, hidangan kambing panggang bersama nasi kabsah menjadi antara tarikan utama Bufet Ramadan Warna Rasa apabila ia disediakan menggunakan resipi dan teknik masakan Arab yang autentik serta melalui proses penyediaan yang panjang dan teliti.
Menurut Anwar yang mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam industri hospitaliti, keistimewaan menu tersebut bukan sekadar pada bahan, tetapi terletak pada keseluruhan proses perapan dan kaedah memasak yang memerlukan kesabaran serta kepakaran tinggi.
“Perapan kambing ini menggunakan resipi Arab sebenar dengan pelbagai rempah khas yang sukar didapati di pasaran tempatan dan perlu ditempah khas.
“Nasi kabsah ini tidak mudah untuk dimasak. Ia memerlukan kefahaman tentang rempah dan cara penyediaan supaya rasa dan aromanya benar-benar seimbang,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad, Datuk Ir Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, selain kepelbagaian menu yang disediakan, Royale Chulan Damansara turut menawarkan pengalaman unik dan mengimbau kenangan, berteraskan konsep suasana kampung dengan hidangan tradisional.
“Mereka yang datang berbuka puasa di sini pasti mengimbau kenangan zaman kanak-kanak. Suasananya juga mesra kanak-kanak, keluarga dan pelanggan korporat.
“Lokasi juga mudah diakses dengan kemudahan pengangkutan awam termasuk stesen MRT, sekali gus memudahkan pelanggan merancang perjalanan dengan lebih lancar,” katanya.
Beliau berkata, menu akan ditukar secara berkala bagi memastikan pengunjung sentiasa teruja dan tidak bosan, khususnya bagi mereka yang kerap berbuka puasa di situ.
Lebih istimewa, para pengunjung juga boleh menjamu selera dengan lebih santai sambil menghayati persembahan kugiran secara langsung setiap malam yang dibawakan oleh Royale Chulan Damansara.
Berlangsung dari 21 Februari hingga 18 Mac 2026, Bufet Ramadan Warna Rasa ditawarkan pada harga RM188 bagi dewasa, RM158 bagi warga emas dan RM98 bagi kanak-kanak. Orang ramai juga boleh mengambil peluang membuat pembelian awal untuk menikmati harga promosi beli awal RM158.
Maklumat harga:
Promosi beli awal: RM158
Dewasa: RM188
Warga emas: RM158
Kanak-kanak: RM98