KUALA LUMPUR – Sindiket penyeludupan migran 'Geng Sojul' yang menggunakan sebuah kondominium di Kuchai Lama di sini sebagai premis transit terbongkar susulan tangkapan dua lelaki pada Ahad.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki sebagai transporter bagi sindiket berkenaan.
"Selain itu, 20 warga asing berusia 18 hingga 49 tahun yang disyaki diseludup masuk ke negara ini, turut ditahan dalam serbuan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Zakaria berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu itu menyediakan perkhidmatan membawa masuk warga asing ke dalam negara menggunakan laluan negara ketiga dan masuk secara haram melalui Kelantan, sebelum dibawa ke Lembah Klang serta dihantar destinasi-destinasi tertentu.
"Sindiket itu mengenakan bayaran sebanyak RM12,000 bagi setiap migran yang diseludup dan dipercayai telah mengaut keuntungan sekitar RM1.2 juta sejak beroperasi," katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama pada jam 1.30 petang, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lagi kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai membawa migran yang diseludup berjaya dipintas di kawasan parkir sebuah pasar raya di Jalan Kuchai Lama.
"Hasil pemeriksaan, seramai enam lelaki dan seorang wanita warganegara Bangladesh dan satu lelaki Myanmar telah ditahan," katanya.
Beliau berkata, seterusnya satu serbuan susulan telah dijalankan di sebuah kondominum yang disyaki sebagai rumah persembunyian dan transit sindiket terletak di Kuchai Lama.
"Hasil pemeriksaan, seramai 12 lelaki warga Bangladesh yang dipercayai baru tiba dari negara jiran dan sedang menunggu untuk dihantar ke beberapa negeri di Selatan dan sekitar Lembah Klang telah ditahan," katanya.
Menurutnya, dua kenderaan, berapa keping pasport Bangladesh dan wang tunai sebanyak RM82,100 dan matawang asing USD3,700 turut disita.
"Kesemua individu yang ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, PeraturanPeraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966," katanya.