KOTA KINABALU – Saksi ke-62 memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa dia hanya mengetahui anaknya dibawa ke balai polis dua hari selepas kejadian menimpa Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Beliau yang juga ibu kepada Pelajar A mendakwa tidak pernah dimaklumkan bahawa anaknya dibawa keluar oleh pihak sekolah ke balai polis.
“Saya hanya tahu pada 18 Julai ketika datang ke sekolah. Pada waktu itu, saya mencari anak saya tetapi dimaklumkan dia tiada.
“Saya bertanya kepada rakan-rakannya mengenai keberadaan Pelajar A dan mereka memberitahu bahawa Pelajar A mengikut Ustaz Azhahari, namun tidak mengetahui ke mana.
“Kemudian, suami saya menghubungi ustaz tersebut dan dimaklumkan bahawa Pelajar A dibawa ke balai polis,” katanya sambil menyatakan rasa marah kerana anaknya dibawa keluar tanpa pengetahuan mereka.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya merangkap pegawai pengendali, Mohd Fairuz Johari, semasa memberi keterangan di Mahkamah Koroner pada Isnin.
Ditanya lanjut mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya dimaklumkan lebih awal bahawa anaknya dibawa ke balai polis, saksi berkata beliau akan membenarkan perkara itu bagi membantu siasatan.
“Sekiranya dimaklumkan, saya akan membenarkan untuk membantu siasatan selepas kejadian menimpa Zara,” katanya.
Sebelum itu, saksi memaklumkan bahawa kejadian yang menimpa Zara Qairina hanya diketahui melalui ibu kepada salah seorang pelajar selepas insiden itu berlaku pada 16 Julai tahun lalu.
“Saya sangat takut, cemas dan memikirkan pelbagai perkara sehingga berasa ingin datang ke sekolah dengan segera,” katanya.
Diminta menceritakan mengenai kejadian anaknya dikelilingi guru semasa berhubung dengannya, saksi mendakwa perkara itu hanya diketahui oleh anaknya sendiri ketika beliau melawat sekolah.
“Selepas saya sampai ke sekolah dan berjumpa anak saya, ramai guru berada di sekelilingnya.
“Dua meja penuh, saya tanya meja apa, diberitahu meja mesyuarat,” katanya.
Menurut saksi, semasa pertemuan pertama dengan anaknya pada 17 Julai 2025, Pelajar A dilihat dalam keadaan kaku walaupun tidak menangis.
“Dia tidak pernah berkelakuan begitu. Saya peluk dia dan beritahu saya ada bersamanya. Saya minta ayahnya membacakan selawat Nabi ke ubun-ubunnya,” katanya sambil menangis dan menyeka air mata ketika memberi keterangan.
Beliau berkata, selepas itu anaknya dilihat lebih lega, tenang dan mula berselera untuk makan.
Tambahnya, anaknya mengalami trauma sehingga perlu mendapatkan rawatan dan sehingga kini masih menerima rawatan, dengan rawatan terbaharu pada Selasa lalu.
Terdahulu, barisan peguam diketuai Datuk Ram Singh bersama Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan yang mewakili Pelajar A dalam kes di Mahkamah Kanak-Kanak hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.
Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), di sini.