KLUANG – Operasi pemadaman kebakaran tanah gambut yang melibatkan kawasan ladang nanas dan kelapa sawit seluas 8.9 hektar di Sungai Linau, Simpang Renggam sejak empat hari lalu berdepan pelbagai cabaran, khususnya kekangan sumber air serta keadaan cuaca panas dan berangin.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Hajar Sanusi berkata, api merebak di bawah permukaan tanah dan memerlukan tempoh masa yang panjang untuk dikawal sepenuhnya.
Menurutnya, setakat jam 11.30 pagi Isnin, tahap kawalan kebakaran dianggarkan sekitar 35 peratus daripada keseluruhan 22 ekar kawasan terjejas, melibatkan ladang nanas seluas 12 ekar dan ladang kelapa sawit seluas 10 ekar.
“Kekangan infrastruktur ladang serta sumber air yang terhad menjadi cabaran utama operasi, selain cuaca panas berterusan dan tiupan angin yang menyebabkan bara api mudah menyala semula walaupun selepas pemadaman dilakukan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, keadaan tanah gambut yang kering meningkatkan risiko kebakaran merebak ke kawasan berhampiran, sekali gus memerlukan pemantauan rapi serta operasi pemadaman secara berterusan.
“Kerja-kerja menggali ‘fire break’ sepanjang 350 meter telah disiapkan daripada sasaran 500 meter dan dijangka siap sepenuhnya hari ini bagi mengekang pergerakan api. Namun, risiko kebakaran merebak masih wujud selagi keadaan kering berterusan,” katanya.
Jelas beliau, seramai 28 anggota bomba termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bersama 22 pekerja ladang serta sebuah jentera bomba dan lima lori tangki air terlibat dalam operasi pemadaman.
Selain itu katanya, sembilan unit alat pemadaman api GS Mark II dipasang dan beroperasi 24 jam, manakala kaedah pemadaman tompokan serta pemantauan berkala dijalankan di semua sektor operasi sejak Jumaat.
“Bagi memperkukuh operasi, bantuan tambahan melibatkan dua lori tangki air dari Majlis Perbandaran Kluang (MPK), satu lori tangki air dari Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) serta pam air daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan kaedah pembanjiran menyeluruh di sektor kebakaran turut digerakkan.
“Bekalan air turut dibantu oleh Syarikat Air Johor (SAJ) bagi memastikan operasi pemadaman dapat diteruskan tanpa henti sehingga kebakaran dipadam sepenuhnya,” katanya.
Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan kebakaran tidak melibatkan kawasan penempatan penduduk.