Empat premis perniagaan warga asing ditutup serta-merta

Iklan
Antara premis yang dikenakan tindakan dalam operasi bersepadu dijalankan pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Empat premis perniagaan dikendalikan warga asing ditutup dalam operasi bersepadu sekitar Jalan Taman Seri Sentosa, Seputeh di sini Khamis lalu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan memaklumkan, tindakan itu dijalankan menerusi Operasi Bersepadu Gasak ‘KL Strike Force’ Siri 1 Tahun 2026.

Iklan
Iklan

Menurut DBKL, operasi berkenaan dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya, operasi tersebut membabitkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap aktiviti premis perniagaan yang dikendalikan warga asing.

Iklan

"Turut diperiksa adalah premis tanpa lesen, halangan tred di tempat awam dan aspek kebersihan premis perniagaan.

"Pemeriksaan turut melibatkan suntikan tifoid pengendali makanan, penjualan barang kawalan, penggunaan alat timbang dan sukat, barangan tidak membayar cukai atau duti eksais, kegagalan mengemukakan dokumen perjalanan atau permit kerja, tiada pendaftaran syarikat serta kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Iklan

Jabatan Imigresen Malaysia antara agensi yang turut terlibat dalam operasi bersepadu dijalankan pada Khamis.

Menurutnya, susulan operasi itu, pihaknya mengambil tindakan menutup serta-merta empat premis yang menjalankan aktiviti perniagaan dikendalikan warga asing.

Jelasnya, tindakan sita dan pindah halangan turut diambil terhadap premis yang melakukan halangan tred di tempat awam.

"Sebanyak 21 notis kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk premis tiada lesen perniagaan, premis dikendalikan warga asing serta pemilik melantik pekerja bukan warga negara tanpa kebenaran.

"Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut peruntukan Undang-undang Kecil (UUK) Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL), UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” katanya.

Dalam pada itu, DBKL memaklumkan barangan dan peralatan perniagaan yang disita dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL untuk tindakan lanjut serta proses dokumentasi.

Menurut kenyataan, DBKL akan meneruskan tindakan bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang.

Dalam operasi sama, JIM menahan 20 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.

KPDN pula mengeluarkan tiga notis kompaun membabitkan kesalahan penandaan harga dan penggunaan alat timbang sukat.

JKDM turut mengeluarkan dua notis kesalahan tidak membayar cukai dan duti kastam selain membuat rampasan pelbagai unit minuman keras.

Sementara itu, SSM mengeluarkan 11 notis kompaun mengikut kesalahan Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 serta Akta Syarikat 2016.

DBKL menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti perniagaan di ibu negara mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.