PEKAN - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak hampir seminggu lalu ditemukan selamat selepas pulang ke rumahnya sendiri di Felda Chini Timur 2, di sini pada malam Ahad.
Amirul Ahmad, 37, yang mengalami masalah kemurungan sebelum ini dilaporkan keluar dari kediamannya pada 27 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, anggota Balai Polis Chini segera ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai kepulangan lelaki berkenaan bagi tujuan pengesahan identiti dan memastikan keadaan mangsa dalam keadaan stabil.
"Susulan kepulangan mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diarahkan tutup pada jam 8 malam itu.
"Kita ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi serta pihak yang terlibat bertungkus-lumus sepanjang lima hari operasi berlangsung," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Zaidi turut berterima kasih kepada masyarakat atas doa serta keprihatinan sepanjang tempoh pencarian ini.
"Semoga kerjasama erat antara pasukan keselamatan dan masyarakat terus kukuh demi kesejahteraan daerah Pekan," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Amirul keluar dari rumah dalam keadaan sehelai sepinggang kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 27 Januari lalu.
Mohd Zaidi berkata, kehilangan lelaki itu hanya disedari oleh ibunya sebelum satu laporan polis dibuat pada jam 12.06 tengah hari.