SEPANG – Setiap pagi, sebaik matahari mula meninggi, Rosita Abd Razak, 62, yang menetap di Kampung Labu Lanjut, di sini, sudah berada di kebun bersama rakan-rakannya.
Tangan yang dahulu lebih banyak berehat, kini lincah menyemai benih tanaman, satu demi satu, di atas tanah yang diusahakan secara berkumpulan sejak enam bulan lalu.
Dilantik sebagai Ketua Projek Agro Lestari Bonda, Rosita menganggap kebun itu bukan sekadar tempat menanam sayur-sayuran, sebaliknya menjadi ruang mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk.
Dengan topi kebun di kepala dan senyuman tidak pernah lekang, dia melangkah perlahan menyusuri batas tanah yang kini menjadi sumber harapan baharu buat dirinya dan rakan-rakan sekampung.
"Kalau saya seorang sahaja mengusahakan tanaman ini, memang tak menjadi, tapi bila ramai-ramai kami saling memberi semangat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Sebelum terlibat dengan aktiviti berkebun, rutin hariannya agak terhad, namun kini, hampir setiap hari Rosita bersama 10 orang penduduk kampung sibuk menguruskan kebun tanaman mengikut jadual masing-masing.
Di kebun itu, pelbagai jenis sayur-sayuran ditanam termasuk kangkung, cili, terung, bayam, sawi dan bendi.
"Hasil tanaman bukan sahaja untuk kegunaan sendiri, malah dijual kepada penduduk kampung dan kedai sekitar," ujarnya.
Menurut Rosita, penduduk kampung seperti warga emas, pesara dan suri rumah terlibat dalam projek itu.
Jelasnya, aktiviti berkumpulan itu bukan sahaja memberi peluang menjana pendapatan kecil secara konsisten, malah mengeratkan hubungan sesama mereka.
Dalam tempoh awal pelaksanaan, hasil jualan mencecah hingga RM3,000 dalam tempoh enam bulan pertama dan kumpulan itu menyasarkan peningkatan pendapatan pada musim akan datang.
Menurut Rosita, selepas mengusahakan kebun komuniti itu, perubahan paling ketara yang dialami ialah tahap kesihatannya semakin baik dan lebih bersemangat untuk menjalani gaya hidup sihat.
"Kebun ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Selain menyemai sayur-sayuran, ia turut menyuburkan persahabatan dan menumbuhkan harapan untuk hari esok yang lebih baik,” katanya.
Menggerakkan pertanian komuniti
Bagi Nor Aniza Abd Samad, 60, pula, kawasan tanaman itu yang dahulunya sunyi dan dipenuhi semak-samun, kini memberi pulangan ekonomi kepada kumpulan berkenaan.
Nor Aniza yang bertindak sebagai penyelaras projek Kampung Angkat Madani (KAM) ini berkata, aktiviti ekonomi itu tidak dirancang secara besar-besaran, sebaliknya bermula daripada usaha kecil yang digerakkan secara bersama oleh penduduk kampung mengikut kemampuan masing-masing.
Menurutnya, pendekatan itu selari dengan semangat program KAM yang memberi ruang kepada rakyat untuk memulakan perubahan dari bawah, bermula dengan apa yang ada di sekeliling mereka sebelum dikembangkan secara berperingkat.
Katanya, program KAM memberi peluang kepada komuniti setempat untuk berdikari, khususnya dalam menjana ekonomi dan menghidupkan semula kawasan terbiar.
"Bila jurang bandar dan luar bandar cuba dirapatkan ia secara tidak langsung beri peluang dan kepercayaan kepada orang kampung sendiri," jelasnya.
Menurutnya, golongan wanita, suri rumah, pesara dan ibu tunggal menjadi fokus utama bagi menjayakan aktiviti ekonomi berkenaan.
"Kebanyakan suami bekerja dan mempunyai masa lapang. Projek ini memberikan peluang kepada kami untuk melakukan aktiviti yang berfaedah, menambahkan pendapatan dan ruang untuk berkawan,” katanya.
Mengulas lanjut, Nor Aniza berkata, idea menggerakkan pertanian komuniti itu turut disokong pelbagai pihak.
Di kebun itu, Nor Aniza tidak melihat ahli sebagai seorang pekerja sahaja, sebaliknya mereka seperti ahli keluarga yang saling menyokong.
"Tempat ini sebagai ruang berukhuwah, perbincangan dan membantu di antara satu sama lain,” kata Nor Aniza.
Menurutnya, hasil jualan kebun tidak diagihkan secara sama rata, sebaliknya dimasukkan ke dalam tabung dan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
"Hubungan dengan peniaga serta pengusaha makanan sekitar juga mula terjalin sekali gus membuka peluang pasaran baharu,” katanya.
Menjana pendapatan penduduk
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Labu Lanjut, Damarulan Hassim berkata, projek agro itu kini berkembang menjadi platform ekonomi komuniti yang menyatukan penduduk setempat.
Menurutnya, inisiatif itu diusahakan oleh Biro Wanita Masjid As-Syakirin di atas tanah seluas 0.2 hektar itu mula dilaksanakan sejak Jun tahun lalu menerusi program Kampung Angkat MADANI.
Katanya, projek berteraskan pertanian organik itu mengusahakan pelbagai tanaman sayur-sayuran harian yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
"Hasil tanaman dijual dalam kalangan komuniti setempat termasuk melalui kumpulan masjid, jika ada lebihan, barulah dihantar ke kedai makan sekitar kampung seperti kedai tomyam dan warung,” katanya.
Walaupun baru enam bulan dilaksanakan dan keluasan tanah terhad, beliau berkata, projek itu berjaya menjana pendapatan sekali gus membuktikan potensi ekonomi walaupun berskala kecil.
Katanya, Projek Agro Lestari Bonda bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya memberi fokus kepada pembangunan komuniti, pengukuhan silaturahim dan penyediaan aktiviti sihat untuk golongan ibu.
"Selain memperoleh hasil, mereka juga menikmati makanan sihat kerana tanaman ini menggunakan baja organik tanpa bahan kimia atau racun di samping semua kerja dilakukan secara manual seperti menarah dan menebas,” katanya.
Mengulas kos permulaan, Damarulan berkata, kira-kira RM20,000 diperlukan untuk kerja-kerja meratakan tanah, pemasangan sistem perpaipan siraman, bekalan air, pembinaan gazebo dan kemudahan asas lain yang dilaksanakan melalui gotong-royong bersama penduduk.
Menurutnya, tanah yang digunakan sebelum ini adalah tanah pertanian milik penduduk asal kampung, namun telah dijual kepada pemaju dan sebahagiannya masih belum dibangunkan.
"Tanah ini asalnya semak-samun dan belukar serta berisiko dengan kehadiran haiwan berbisa seperti ular dan babi hutan.
"Apabila kawasan ini mula diusahakan dan menjadi aktif, ia secara tidak langsung meningkatkan tahap keselamatan,” katanya.
Tambahnya, kelangsungan projek bergantung kepada kebenaran pemaju kerana tanah itu belum dimiliki penduduk, namun usaha sedang dijalankan bagi mencari tapak kekal supaya aktiviti pertanian komuniti itu dapat diteruskan.
"Ini antara aktiviti ekonomi komuniti terawal sejak saya menjadi ketua kampung. Harapan kami agar projek ini dapat dikekalkan kerana manfaatnya bukan sahaja dari segi pendapatan, malah kesejahteraan sosial penduduk,” katanya.