SHAH ALAM – Tawaran tiga buku percuma setiap bulan sepanjang tahun menjadi pembakar semangat buat seorang suri rumah sebelum muncul pemenang Karangkraf Reading Challenge 2025.
Menurut Hamidah Effendi, 42, penyertaannya dalam cabaran berkenaan pada asalnya bertujuan untuk menghabiskan koleksi buku My #QuranTime dimilikinya, namun minat membaca semakin berkembang apabila membaca pelbagai genre buku menerusi komuniti pembaca disertainya.
“Antara sebab saya menyertai cabaran ini kerana hadiah ditawarkan. Juara bukan sahaja memperoleh wang tunai RM500, malah turut menerima tiga buku percuma daripada Karangkraf setiap bulan sepanjang tahun ini.
“Hadiah ini sangat bermakna bagi saya sebagai suri rumah kerana menjimatkan perbelanjaan selain dapat menambahkan koleksi bacaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Hamidah, program tersebut bukan sahaja menggalakkan budaya membaca, malah membuka ruang kepada peserta meneroka genre baharu termasuk fiksyen dan bukan fiksyen, sekali gus memperkayakan ilmu serta pengalaman membaca.
Ujarnya, sehingga kini dia telah membaca lebih 400 buku secara keseluruhan, termasuk 250 judul terbitan Karangkraf.
“Saya juga mengamalkan beberapa teknik berkesan membaca buku.
"Pembaca disarankan membaca bahagian hadapan, tengah dan belakang buku terlebih dahulu bagi memahami gambaran keseluruhan kandungan serta mesej disampaikan," jelasnya.
Hamidah berkata, dengan cara itu, pembaca dapat mengenal pasti jalan cerita buku tersebut.
"Saya juga mengamalkan teknik bacaan pantas yang membantu memperbaiki gaya membaca dan mengelakkan rasa mengantuk.
“Dalam sehari, ada kalanya saya boleh menghabiskan sehingga empat buku,” ujarnya.
Sementara itu, Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Grup Buku Karangkraf (GBK), Siti Nur Fatihah Abdull Rani berkata, pihaknya menjangkakan sambutan Karangkraf Reading Challenge 2026 lebih memberangsangkan dengan sasaran penyertaan meningkat 1,000 peserta berbanding 400 orang pada edisi pertama.
Lebih menarik katanya, tiga cabaran lain akan dianjurkan tahun ini iaitu Serambara Buku Prima, Sayembara Komikraf dan The Novella Project.
“Untuk edisi seterusnya, kami menyasarkan penyertaan lebih besar bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia terlibat secara aktif dalam acara perbukuan ini.
“Jika sebelum ini kami memfokuskan cabaran untuk pembaca, kali ini turut melibatkan penulis dan pelukis komik,” katanya.