PERLIS – Majlis Syura Ulama (MSU) Pas tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang pertimbangan terhadap rayuan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang dihentikan keahlian.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahya bagaimanapun berkata borang permohonan sebagai ahli baharu daripada ketiga-tiga individu tersebut telah diterima.
Iklan
Iklan
“Keputusan MSU Pas berkaitan rayuan tiga mantan ADUN Perlis ialah MSU menolak daripada membuat keputusan atas nama rayuan kerana perkara tersebut bukan dalam bidang kuasa MSU,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Ahmad berkata, borang permohonan baharu yang diterima itu akan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pas untuk tindakan lanjut.
“Menerima borang permohonan ahli baharu Pas daripada tiga mantan ADUN tersebut dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pas untuk pertimbangan Pas Pusat,” tulisnya.
Pada 24 Disember lalu, Pas memutuskan keahlian tiga ADUN terbabit terhenti serta-merta berikutan tindakan mereka yang tidak menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar sebelum ini.
Tiga bekas ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).