AMK sedia air percuma sempena Thaipusam

Iklan
Muhamad Arafat (kiri) bersama Sharvin (kanan) membantu mengedarkan air minuman percuma kepada orang ramai ketika program pemberian air percuma sempena Hari Thaipusam di Tanjung Rambutan pada Ahad.

IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menyediakan air minuman percuma kepada kira-kira 4,000 hingga 5,000 penganut Hindu sempena sambutan Hari Thaipusam di Tanjung Rambutan di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Penerangannya, R Sharvin berkata, program tersebut merupakan inisiatif AMK yang julung kali dilaksanakan bersama kepimpinan tempatan di kawasan Parlimen Tambun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemilihan lokasi itu selari dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang, khususnya di kawasan Parlimen Tambun yang merupakan kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Setiap tahun kelab belia bersama pejabat ADUN akan menganjurkan program sempena Thaipusam, namun kali ini lebih istimewa kerana penglibatan AMK Pusat.

Iklan

"Kita melibatkan lebih 50 anak muda yang telah membuat persiapan sejak malam semalam bagi memastikan kelancaran program hari ini,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Sharvin berkata, selain menyediakan air minuman percuma, pihaknya turut menyumbangkan beras kepada pihak kuil bagi penyediaan makanan kepada penganut.

Iklan

Menurutnya, AMK merancang untuk memperluaskan inisiatif berkenaan pada tahun hadapan dengan menyediakan makanan percuma selain minuman.

Sementara itu, ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, kuil berkenaan merupakan satu-satunya kuil di kawasan Hulu Kinta yang menganjurkan sambutan Thaipusam dan antara tiga terbesar di sekitar Ipoh.

Beliau berkata, kehadiran penganut di kuil tersebut dianggarkan antara 4,000 hingga 5,000 orang, menjadikan keperluan asas seperti air minuman amat penting bagi keselesaan mereka.

"Ini kali pertama kita lihat penglibatan sepenuhnya anak muda dalam penganjuran program pemberian minuman percuma kepada penganut di sini, dan ia satu usaha yang sangat dihargai," katanya.

Muhamad Arafat menegaskan bahawa kehadirannya ke program berkenaan mencerminkan komitmen dalam memperkukuhkan perpaduan kaum serta menghormati kepelbagaian agama di negara ini.

"Sebagai wakil rakyat, semua adalah rakyat saya tanpa mengira agama, kaum atau ideologi politik.

"Tanggungjawab saya adalah memastikan kebajikan dan keselesaan mereka terpelihara," katanya.

Program berkenaan dianjurkan AMK Malaysia dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta serta Kelab Belia Makmur Tambun melibatkan lebih 50 anak muda sebagai sukarelawan.