PRN Melaka, Johor: Jangan jerit sana sini, tunggu 'lampu hijau'

Iklan
Ahmad pada sidang akhbar selepas melawat tapak projek pelebaran Lebuhraya Senai-Desaru Ekspresway pada Ahad.

KOTA TINGGI - Semua isu melibatkan pembahagian kerusi, terutama di negeri ini perlu dibincangkan secara tertutup dan berhemah, bukannya diperdebatkan secara terbuka sehingga boleh menjejaskan keharmonian Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya bersedia untuk berbincang mengenai isu berkaitan sekiranya diminta, namun menegaskan perkara itu perlu dilakukan melalui saluran yang betul dan pada masa yang sesuai.

Iklan
Iklan

"Saya menunggu 'lampu hijau' untuk berbincang. Saya tidak gemar pergaduhan di khalayak ramai. Dalam komunikasi awam yang baik, kita tidak sepatutnya menjerit sana sini. Kita satu keluarga.

"Pada pandangan saya wakil Parti Amanah Negara (Amanah) di peringkat pusat dan negeri, boleh kita berbincang.

Iklan

"Kena berunding bertemu, duduk, berbincang seterusnya jangan mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati sebelah pihak lagi," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya ditemui selepas melawat tapak projek pelebaran Lebuhraya Senai- Desaru Ekspresway di sini pada Ahad.

Iklan

Sebelum itu, pada 25 Januari lalu, Amanah menuntut agar rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dilakukan secara seimbang dan adil antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, landskap politik semasa di Melaka dan Johor menyaksikan kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai oleh wakil BN susulan perkembangan politik sebelum ini.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut mengulas isu pembahagian kerusi pilihan raya dengan menjelaskan amalan atau rule of thumb yang lazim diguna pakai iaitu parti yang memenangi sesuatu kerusi akan terus mempertahankan kerusi tersebut, termasuk dalam pilihan raya kecil.

Beliau mengambil contoh beberapa kawasan seperti Mahkota, Nenggiri, Pelangai, Lamag dan Kinabatangan yang sebelum ini dimenangi BN yang mana calon pengganti juga datang daripada parti sama.

"Situasi serupa turut berlaku di Sungai Bakap apabila kerusi dikekalkan kepada PKR sebagai parti asal yang memenanginya.

“Perkara ini jelas. Siapa yang telah memenangi satu-satu kerusi, merekalah yang akan bertanding semula di kawasan berkenaan. Itu prinsip yang diamalkan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Johor dan Melaka kini perlu membuat persiapan rapi menghadapi kemungkinan pilihan raya yang boleh diadakan dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan PRN Melaka akan diadakan dalam tempoh dua hingga 10 bulan akan datang.

Di Melaka, BN menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN 2021, manakala PH hanya memenangi lima kerusi, dengan Amanah memperoleh satu kerusi menerusi DUN Bukit Katil.

Manakala di Johor, BN menang besar dengan majoriti dua pertiga pada PRN 2022 lalu selepas menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH sekadar memenangi 12 kerusi termasuk satu milik Amanah di DUN Simpang Jeram.