'Disiplin, integriti Bersatu tak boleh dikompromi' - Saifuddin

Iklan
Saifuddin dan tangkap layar hantarannya di Threads pada Ahad.

SHAH ALAM - Jawatankuasa Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan menerima surat rasmi aduan disiplin terhadap Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah sambil memuat naik surat rasmi aduan disiplin yang difailkan ahli Bersatu, Hariz Faisal Ismail kepada Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Disiplin parti iaitu Datuk Mohammed Radzi Manan bertarikh 30 Januari di platform Threads pada Ahad.

Iklan
Iklan

Saifuddin yang juga bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, disiplin dan integriti parti tidak boleh dikompromi, memberi gambaran bahawa Muhyiddin mesti melalui proses sama sepertimana dikenakan ke atas ahli lain yang didakwa pernah melanggar peraturan sebelum ini.

"Surat rasmi telah dikemukakan berhubung pelanggaran disiplin oleh Muhyiddin dan implikasi tindakannya terhadap imej parti.

Iklan

"Disiplin dan integriti parti tidak boleh dikompromi," katanya ringkas.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, aduan disiplin terhadap Muhyiddin berhubung dakwaan berbohong mengenai isu jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) disifatkan tidak berasas, mengelirukan serta berpunca daripada kegagalan memahami perlembagaan dan proses tadbir urus gabungan politik.

Iklan

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berpendapat, perlembagaan parti dengan jelas memperuntukkan kuasa eksekutif kepada Presiden sebagai pemimpin utama yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran dan dasar parti.

Menurutnya, perlembagaan turut memberi peranan kepada Presiden untuk memanggil dan mempengerusikan Mesyuarat MPT, sekali gus membolehkan rundingan dengan Presiden parti lain dijalankan secara sah.

Beliau turut menegaskan, tiada sebarang peruntukan perlembagaan yang melarang rundingan sedemikian dilakukan oleh Presiden parti.

Mengulas pertemuan antara Presiden Bersatu dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Tun Faisal berkata, perkara yang dibincangkan hanya rundingan serta cadangan awal, bukannya keputusan muktamad.

Dalam pada itu, Tun Faisal turut menjelaskan bahawa aduan disiplin tersebut bersandar sepenuhnya kepada surat dalaman Presiden Bersatu yang telah dibocorkan oleh pihak tertentu.

Tambahnya lagi, dokumen dalaman yang dibocorkan dan ditafsir di luar konteks tidak boleh dijadikan asas tuduhan pembohongan atau kesalahan disiplin.