Dua kunci untuk selesaikan kemelut PN

Iklan
PN perlu melaksanakan dua pendekatan yang lebih berstrategik dan berstruktur dalam usaha meredakan kemelut dalam gabungan itu. Gambar kecil: Mujibu

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) perlu melaksanakan dua pendekatan yang lebih berstrategik dan berstruktur dalam usaha meredakan kemelut dalam gabungan itu.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, isu utama yang melanda PN terletak kepada kegagalan membina struktur kepimpinan dan proses membuat keputusan yang jelas serta dipersetujui bersama.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, langkah paling mendesak ialah menghentikan politik kenyataan terbuka serta mengembalikan rundingan ke dalam kerangka institusi dalaman PN yang jelas dan berautoriti.

"Bagi saya, kepimpinan PN perlu segera memperkemas struktur membuat keputusan termasuk menetapkan prosedur rasmi berkaitan pelantikan serta peranan pengerusi gabungan.

Iklan

Selagi isu kepimpinan tertinggi tidak diselesaikan secara muktamad, konflik kuasa antara Bersatu dan Pas akan terus berpanjangan.- Gambar hiasan

"Selagi isu kepimpinan tertinggi tidak diselesaikan secara muktamad dan dipersetujui bersama, konflik kuasa akan terus berulang dan melemahkan gabungan dari dalam," katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan

Selain itu, Mujibu menegaskan, PN juga perlu menguatkuasakan disiplin kolektif dalam komunikasi politik.

"Pertikaian terbuka bukan sahaja merosakkan hubungan antara parti, malah mencerminkan kegagalan tadbir urus gabungan.

“Dalam politik pakatan, keupayaan mengurus perbezaan secara tertutup, berinstitusi dan berprinsip merupakan prasyarat asas kepada kelangsungan serta kestabilan sesebuah gabungan politik,” ujarnya.

Ditanya mengenai cadangan untuk Pas bergerak solo dan serangan memaksa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur, beliau berpandangan, pilihan tersebut hanya merawat simptom dan bukannya punca sebenar konflik.

"Pengunduran Muhyiddin mungkin meredakan ketegangan sementara, manakala tindakan Pas bertanding solo memberi kelegaan taktikal kepada parti tersebut, namun kedua-duanya berisiko melemahkan PN secara keseluruhan dari segi kestabilan dan daya saing pilihan raya.

"Secara realistik, penyelesaian yang lebih rasional ialah pembaharuan dalaman PN melalui penstrukturan semula kepimpinan dan persefahaman baharu antara parti komponen.

"Tanpa langkah ini, sama ada Muhyiddin kekal atau Pas bergerak solo, kemelut serupa akan berulang dalam bentuk yang lain," kata beliau.