SPRM Pahang perkukuh kerjasama integriti dengan kerajaan negeri

Iklan
Mohd Shukor (dua dari kanan) bergambar bersama Wan Rosdy (tengah) di pejabatnya pada Selasa. Foto SPRM Pahang.

KUANTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berintegriti dan bebas rasuah.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, komitmen itu selari dengan kepentingan penghayatan prinsip Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) sebagai panduan utama dalam membentuk budaya kerja berintegriti dan berakauntabiliti.

Iklan
Iklan

"Kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa berkaitan pengukuhan integriti dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Pematuhan kepada prinsip ketelusan serta usaha berterusan membudayakan nilai-nilai integriti dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Pejabat Menteri Besar Pahang di sini pada Selasa.

Kunjungan hormat bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Pahang dan SPRM khususnya dalam aspek tadbir urus, integriti serta usaha pencegahan rasuah selaras dengan aspirasi Keep Malaysia Clean (KMC) dan pelaksanaan NACS 2024 - 2028.

Iklan

Sementara itu, Wan Rosdy menzahirkan penghargaan atas peranan dan komitmen SPRM dalam memastikan pentadbiran kerajaan sentiasa berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh inisiatif pencegahan rasuah termasuk program kesedaran awam dan pelaksanaan inisiatif di bawah agenda"Keep Malaysia Clean" serta NACS di peringkat negeri.