3,164 sekolah kurang murid dikesan setakat November 2025 - KPM

Iklan
Kah Woh (sembilan, kiri) bersama Nie Ching (lapan, kiri) melakukan gimik Majlis Pecah Tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Central Site di sini pada Sabtu. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan (KPM) mengesan sebanyak 3,164 sekolah kurang murid (SKM) dengan jumlah kurang daripada 150 orang di seluruh negara setakat November tahun lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kementerian mengambil beberapa pendekatan bagi menangani isu berkenaan termasuk memindahkan lokasi sekolah terlibat ke kawasan berlainan.

Bagaimanapun katanya, pendekatan itu dilaksanakan bergantung pada sesuatu situasi dan langkah mengekalkan sekolah akan turut diambil selain menggabungkan murid dari tahun yang berbeza ke dalam satu kelas.

Iklan

"Walaupun kurang murid 50 atau 30 orang, (sekiranya) kawasan tersebut memang ada keperluan, KPM akan memastikan akses pendidikan (berterusan) di mana-mana sahaja,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah SJKC Central Site, di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Iklan

Sementara itu, Kah Woh berkata, SJKC Central Site yang pada asalnya terletak di Ladang Gomali dekat daerah Segamat, dipindahkan ke Taman Ekoflora di sini, berikutan jumlah murid yang kini hanya tinggal lima orang.

Beliau berkata, sekolah berkenaan akan ditutup dan murid ditukarkan ke sekolah berdekatan setelah pembinaan sekolah baharu memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Kah Woh berkata, pembinaan sekolah baharu dengan kos RM20 juta menerusi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dijangka siap pada suku kedua 2027 dan mampu menempatkan sebanyak 1,250 murid.

Sementara itu, Nie Ching berkata, langkah yang diambil KPM bagi menangani isu SKM perlu diberi pujian kerana secara tidak langsung akan memberikan manfaat kepada lebih ramai murid sekiranya sesuatu sekolah baharu dibina.

"Saya percaya bahawa jika lebih banyak sekolah baharu dibina di kawasan berpenduduk yang besar, akan memberikan kemudahan dan akses (pendidikan) termasuk di kawasan perumahan baharu,” katanya. - Bernama