Kerajaan setuju tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan 10 tahun

Iklan
Azalina

PUTRAJAYA - Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan dasar pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh prinsip akauntabiliti, semak dan imbang serta tadbir urus berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Keputusan ini dibuat selepas Jemaah Menteri meneliti secara menyeluruh input dasar, pandangan awam serta syor-syor yang dikemukakan melalui sesi libat urus holistik dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.

"Cadangan pengehadan tempoh jawatan ini bertujuan untuk mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan, memperkukuh sistem demokrasi serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara, selaras dengan amalan demokrasi matang di peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Bagi langkah seterusnya, Azalina berkata, kerajaan akan melaksanakan beberapa pindaan yang berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada sidang kali ini.

 

Iklan