BATU GAJAH – Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes khianat sehingga menyebabkan kematian seekor anjing jalanan di Pusing dekat sini.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.30 pagi, Jumaat, daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.
"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 28 Januari kira-kira jam 7.30 petang apabila penduduk setempat terdengar bunyi letupan yang kuat sebelum menemui seekor anjing terbaring di tepi jalan.
"Anjing itu ditemui mati terbaring dalam keadaan mulut berlumuran darah di kawasan berhampiran sebuah restoran," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Md Noor Aehawan berkata, bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis menahan seorang lelaki berusia 64 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut di sebuah kedai di Pusing, kira-kira jam 11 malam, Jumaat.
Katanya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi membantu siasatan lanjut.
Jelasnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berhubung sebarang kegiatan jenayah.