KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP cawangan Wangsa Permai Kepong, Muhammad Najmi Samsudin mendakwa beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Selangor telah bertemu dengannya bagi menyatakan hasrat untuk menyertai DAP.
Menurut beliau, sebagai ketua cawangan DAP yang mempunyai keahlian Melayu paling ramai, penyertaan itu dialu-alukan sekiranya dibuat secara ikhlas dan berpandukan kefahaman jelas terhadap hala tuju parti.
“Mereka memaklumkan Bersatu kini berada dalam keadaan berserabut, bukan sahaja berdepan hubungan yang keruh dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN), malah konflik dalaman antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut menjejaskan akar umbi,” katanya.
Muhammad Najmi berkata, pimpinan dan ahli Bersatu di peringkat bawahan dilihat semakin hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti itu susulan pertelingkahan berterusan dalam kalangan pimpinan tertinggi.
“Bagaimana mereka mahu bekerja untuk parti sekiranya pimpinan atasan sering berbalah sesama sendiri. Persoalan lebih besar adalah bagaimana Bersatu mahu mentadbir negara jika setiap pihak mempunyai agenda peribadi dan bukannya kepentingan negara,” katanya menerusi hantaran di Instagram DAP cawangan Wangsa Permai Kepong.
Sebelum ini, Muhammad Najmi mencetuskan perhatian apabila menyatakan kesiapsiagaan DAP cawangan Wangsa Permai Kepong untuk menggempur UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, termasuk menggerakkan ahli-ahli parti ke seluruh negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sedang menguruskan kemasukan pimpinan serta akar umbi Bersatu ke dalam DAP dalam masa terdekat bagi memperkukuh kedudukan parti itu menjelang PRU16, khususnya dari segi sokongan pengundi Melayu.
“Kita tidak boleh terus membiarkan masyarakat Melayu diperkotak-katikkan dalam landskap politik negara oleh segelintir pemimpin yang rakus dan gemar memanipulasi bangsa sendiri demi kepentingan politik,” katanya.
Menurutnya, DAP bersedia menjadi platform kepada masyarakat Melayu yang mahukan perubahan politik berteraskan integriti, kestabilan dan kepentingan rakyat.