Kalau gagal ‘jalan damai’, lebih baik Pas tanding solo - Hashim Jasin

Iklan
Hashim

SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mencadangkan supaya partinya bertanding secara solo jika 'jalan damai’ gagal ditemukan dalam menyelesaikan kemelut pelantikan pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Hashim bagaimanapun berkata, sebaiknya usaha untuk mengisi jawatan yang ditinggalkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin itu diselesaikan menerusi rundingan terlebih dahulu.

Iklan
Iklan

"Saya minta runding dahulu, sekarang kita dilihat sedang bergaduh.

"Kalau gagal, gerak solo itu sahaja. Kalau berjaya (runding) baguslah bukan nak berkelahi,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Iklan

Hashim turut dilaporkan bakal membawa perkara itu dalam mesyuarat Majlis Syura dengan Jawatankuasa Pas Pusat pada petang ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan terkini kemelut pelantikan pengerusi PN yang dilihat sukar diselesaikan dalam masa terdekat.

Iklan

Ia susulan ketidakhadiran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan membabitkan presiden parti komponen di kediaman Muhyiddin pada Khamis malam.

Pertemuan itu diadakan tidak lama selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan berlangsung pada malam sama dibatalkan.

Mesyuarat yang dibatalkan itu difahamkan untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan, berkuat kuasa 1 Januari lepas.

Sebelum pertemuan empat presiden parti komponen dalam PN, Pas menafikan dakwaan Muhyiddin menerusi satu surat bahawa parti itu dan Bersatu bersetuju untuk memansuhkan jawatan pengerusi.

Dakwa Muhyiddin lagi, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha penstrukturan semula gabungan itu yang menyaksikan Bersatu akan menerajui majlis presiden PN, manakala Pas mengetuai jawatankuasa eksekutif.

Menekankan bahawa Pas tiada masalah bertanding solo, Hashim memaklumkan, rundingan dengan parti lain dibuat selepas pilihan raya dalam membentuk kerajaan.

“Misalnya Bersatu tak boleh kerjasama, tapi tiba-tiba UMNO boleh, kita berundinglah.

“Tiada masalah runding dengan UMNO, dahulu kita buat Muafakat Nasional (MN) yang kita lihat masyarakat (ahli Pas dan UMNO) berdamai di peringkat bawah,” ujar beliau.