SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menasihatkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari supaya membaca keseluruhan artikel dan tidak sekadar membaca tajuk berita sahaja.
Menurutnya, tajuk berita yang disiarkan dalam laporan berita itu sememangnya panas, namun diingatkan tidak sekadar membaca tajuk sahaja.
"Ada lima bahagian dalam laporan berita tersebut. Bahagian pertama ulasan penulis, bahagian kedua, ketiga dan keempat adalah oleh sumber, bahagian kelima, barulah komen saya.
"Cadangan saya, sebaiknya baca laporan penuh, jangan sekadar baca tajuk," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat susulan hantaran Ahmad Fadhli yang menyelar dakwaan mengatakan sikap tamak pemimpin parti itu telah mengorbankan hubungan dengan Bersatu.
Terdahulu, Ahmad Fadhli membuat kenyataan terbabit sebagai maklum balas terhadap rencana sebuah akhbar berkaitan Pas dan Bersatu yang turut memetik kenyataan Tun Faisal.
Dalam perkembangan sama, jelas Tun Faisal, beliau berpandangan pre-council Presiden-Presiden adalah platform yang baik dan tepat untuk bincangkan perkara-perkara yang tak jelas.
"Tentu bagus kalau kesemua Presiden dapat duduk bersama berbincang secara baik dan harmoni," ujarnya lagi.
Beliau mengingatkan bahawa terdapat pertemuan antara Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Januari lepas.
"Pada 16 Januari 2026 pula, ada pertemuan antara Presiden Pas dengan Presiden Bersatu, ditemani oleh Timbalan Presiden Pas, Setiausaha Agung Pas dan Setiausaha Agung Bersatu.
"Walaupun ada catatan dan saksi hidup, mungkin ada perkara-perkara yang masih belum jelas dan perlu diperhalusi selepas pertemuan ini," menurutnya.
Tambahnya, Mesyuarat Luar Biasa telah dibatalkan atas sebab-sebab yang telah dijelaskan pada Khamis dan pada tarikh yang sama dibuat pre-council Presiden-Presiden parti-parti anggota PN.
Justeru, beliau berkata, Pre-council Presiden-Presiden sudah tentu menjadi platform yang baik untuk Presiden-Presiden parti mendapatkan pencerahan mengenai apa yang tidak jelas, berbincang dan mendapatkan kesepakatan mengenai hala tuju dan langkah ke hadapan.
Tun Faisal menegaskan kaedah berkenaan sudah tentu lebih baik dan banyak perkara dapat diselesaikan dan diuruskan secara harmoni.