Majlis Ulama gesa Indonesia keluar daripada Lembaga Keamanan Trump

Iklan
Rakyat Palestin masih ramai menderita ketika ini. Foto Agensi

JAKARTA – Majlis Ulama Indonesia (MUI) menyeru Presiden Prabowo Subianto agar menarik Indonesia keluar daripada keanggotaan Lembaga Keamanan, inisiatif yang digagas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Seruan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Umum MUI, Cholil Nafis, melalui akaun media sosial X pada Rabu.

Iklan
Iklan

Cholil menegaskan keputusan Indonesia menyertai Lembaga Keamanan Trump dianggap tidak berpihak kepada rakyat Palestin.

Beliau menyoroti peranan Trump sebagai penggagas lembaga tersebut, serta kehadiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai anggota setara.

Iklan

“Dalam lembaga berkenaan ada Netanyahu, yang jelas menjajah dan tidak ada negara Palestin,” kata Cholil, menurut kenyataan rasmi MUI.

Selain itu, Cholil menekankan kejanggalan lain berkaitan penyertaan Indonesia, iaitu kewajipan sumbangan AS$1 bilion (RM4.05 bilion) bagi keanggotaan.

Iklan

“Anehnya lagi, Indonesia masih ditarik bayaran keanggotaan. Baiknya Pak Prabowo menarik diri saja,” ujarnya.

Indonesia secara rasmi menyertai Lembaga Keamanan Trump pada 22 Januari 2026, ketika Presiden Prabowo menandatangani piagam lembaga itu di sela-sela Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

Sementara itu, Ketua MUI Bidang Hubungan Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa, Sudarnoto Abdul Hakim, menilai Lembaga Keamanan Trump sebagai bentuk neokolonialisme moden.

Menurutnya, isu Palestin bukan sekadar konflik biasa, tetapi masalah penjajahan, perampasan hak asas, pelanggaran undang-undang kemanusiaan, dan jenayah sistematik.

Sudarnoto menegaskan, MUI menolak 'perdamaian retorik' sebagaimana digariskan Trump kerana tidak berlandaskan keadilan dan tidak secara jelas mengiktiraf Palestin sebagai bangsa yang terjajah.

“MUI menegaskan, dalam pandangan Islam dan nilai kemanusiaan sejagat, penjajahan dalam apa bentuk sekalipun adalah kezaliman yang wajib diakhiri.

"Perdamaian sejati hanya mungkin tercapai apabila hak, martabat, dan kedaulatan rakyat Palestin dipulihkan sepenuhnya. Skema Lembaga Keamanan Trump tidak menunjukkan arah perdamaian sejati,” kata Sudarnoto.-Agensi