Iran beri amaran keras: Tiada lagi 'perang dua jam’ jika diserang AS atau Israel

Iklan
Jurucakap Tentera Iran, Brigedier Jeneral Mohammad Akraminia.

TEHERAN – Iran memberi amaran bahawa sebarang bentuk pencerobohan baharu oleh Amerika Syarikat (AS) atau Israel akan dibalas serta-merta dan secara tegas, dengan menegaskan bahawa pengalaman konflik selama 12 hari pada Jun lalu telah mengubah sepenuhnya pendirian ketenteraan serta peraturan tindak balas negara itu.

Jurucakap Tentera Iran, Brigedier Jeneral Mohammad Akraminia berkata pada Khamis, bahawa Angkatan Bersenjata Iran kini beroperasi di bawah arahan jelas yang tidak membenarkan sebarang kelewatan sekiranya musuh mengulangi kesilapan strategik.

Iklan
Iklan

“Jika musuh melakukan satu lagi tindakan bodoh dan sekali lagi tersilap membuat perhitungan, kami akan bertindak balas secara serta-merta dan dalam masa nyata,” katanya ketika berucap dalam program televisyen To the Horizon of Palestine.

Sebuah papan iklan yang dipasang di Dataran Palestin, Teheran, sebagai memberi amaran kepada tentera Israel dan Amerika Syarikat bahawa 'mereka akan terkubur' pada 4 Januari 2026-Agensi

Iklan

Menurutnya, konflik selama 12 hari pada Jun yang melibatkan konfrontasi langsung dengan Israel serta penglibatan AS membuktikan bahawa sebarang keraguan atau kelewatan dalam bertindak adalah tidak boleh diterima.

“Pengajaran utama perang itu ialah musuh tidak boleh diberi masa. Tindak balas mesti segera, dan ini telah dimuktamadkan sebagai arahan rasmi kepada Angkatan Bersenjata Iran,” katanya.

Iklan

Akraminia berkata, kegagalan utama Washington dan Tel Aviv dalam konflik tersebut berpunca daripada salah tafsir terhadap keupayaan ketenteraan Iran, perpaduan nasional serta ketahanan rakyatnya.

Beliau menjelaskan bahawa perancangan strategik musuh berasaskan andaian bahawa Iran berada dalam keadaan lemah selepas Operasi 'Al-Aqsa Storm', dan serangan pantas berskala kecil mampu mencetuskan kekacauan dalaman serta menjurus kepada kejatuhan sistem pemerintahan negara itu.

“Itu adalah kesilapan asas Amerika. Mereka percaya serangan kilat boleh mencetuskan huru-hara dan memecah-belahkan Iran, namun realitinya adalah sebaliknya,” katanya.

Operasi Al-Aqsa Storm merujuk kepada serangan besar-besaran oleh kumpulan penentangan Palestin ke atas penempatan Israel di wilayah selatan yang diduduki pada 7 Oktober 2023.

Akraminia menegaskan bahawa Iran bertindak balas segera terhadap serangan Israel pada Jun lalu, sekali gus menggagalkan objektif musuh dan menukar serangan mengejut itu kepada kegagalan strategik.

“Bukan sahaja kekacauan gagal berlaku, malah perpaduan nasional dan muafakat sosial menjadi semakin kukuh,” katanya sambil menyifatkan perang tersebut sebagai mesej jelas kepada Amerika Syarikat.

Mengulas kemungkinan serangan baharu, Akraminia memberi amaran bahawa sebarang tanggapan bahawa serangan simbolik atau terhad boleh dilakukan tanpa kesan besar adalah satu ilusi.

“Ini bukan situasi di mana presiden AS mengarahkan operasi dan dua jam kemudian mengumumkan ia telah berakhir.

“Serangan sebegitu akan mencetuskan api yang merebak ke seluruh Asia Barat,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa semua rancangan operasi telah dimuktamadkan dan arahan telah dikeluarkan bagi menghadapi pelbagai senario serangan.

“Walaupun serangan kecil dilancarkan terhadap kami, ia tidak akan dibiarkan tanpa balasan,” katanya.

Akraminia turut memberi amaran bahawa skop konflik tidak akan terhad kepada satu kawasan sahaja, malah akan melibatkan seluruh rantau termasuk negara-negara yang menempatkan pangkalan tentera AS.

“Pangkalan tentera Amerika di rantau ini berada dalam jangkauan peluru berpandu dan dron kami,” katanya sambil menambah bahawa kapal pengangkut pesawat AS juga tidak kebal daripada serangan, termasuk menggunakan peluru berpandu hipersonik.-Agensi