GEORGE TOWN – Tuduhan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengaitkan kerja-kerja penambakan di Pulau Pinang, khususnya di Pulau Andaman, sebagai punca utama kejadian hakisan pantai di Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah disifatkan sebagai tidak berasas.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, laporan rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengesahkan fenomena hakisan luar biasa yang berlaku baru-baru ini dipengaruhi faktor semula jadi termasuk paras air pasang besar serta peningkatan kelajuan ombak.
“Paras ombak pada tahun ini adalah kira-kira dua kaki lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Keadaan tersebut ditambah dengan angin kencang telah menghasilkan tekanan ombak yang kuat sehingga ‘sandbag’ yang dipasang sebagai langkah mitigasi turut terbalik dan berubah kedudukan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan kejadian hakisan pantai di beberapa lokasi di koridor utara Pulau Pinang termasuk Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan Tanjung Tokong dipercayai lebih dipengaruhi oleh faktor semula jadi serta perubahan cuaca bermusim, dan tidak dikaitkan secara langsung dengan aktiviti penambakan.
Kon Yeow berkata, JPS telah menyiapkan laporan teknikal berkaitan hakisan tersebut dan menegaskan keperluan untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi secara segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.
Mengulas lanjut Zairil Khir berkata, kerja-kerja penambakan di Pulau Andaman bukan aktiviti baharu kerana pembinaan struktur perlindungan utama atau perimeter 'rockbund' telah dilaksanakan lebih 10 tahun lalu.
“Kerja yang sedang dijalankan kini hanyalah pengisian baki kawasan dalam struktur sedia ada. Sekiranya penambakan tersebut menjadi punca hakisan, kesannya sudah tentu berlaku sejak sedekad lalu,” ujarnya.
Zairil Khir turut menjelaskan bahawa pasir yang digunakan bagi kerja pengisian tidak diambil dari kawasan laut berhampiran Batu Ferringhi atau Tanjung Bungah, sebaliknya diperoleh dari Pulau Indah dan Lumut mengikut piawaian serta kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, Pulau Pinang mempunyai sejarah melibatkan kerja-kerja penambakan termasuk di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas (FIZ), Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Persiaran Gurney dan Weld Quay tanpa menjejaskan kawasan sekitar.
Dalam pada itu, Zairil Khir berkata, insiden hakisan pantai di Batu Ferringhi kini sedang ditangani oleh JPS melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan ke-5 (RMK12 RP5) berjumlah RM61 juta bagi tujuan mitigasi.
“Saya menggesa semua pihak, khususnya NGO, agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan supaya tidak mengelirukan orang ramai dengan dakwaan yang tidak disokong fakta,” katanya lagi.
Sebelum ini, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman mendakwa pembangunan berlebihan di kawasan yang terlalu hampir dengan garis pantai selain penambakan laut yang ketara dipercayai antara punca hakisan di Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah pada tahun ini menjadi lebih teruk.
Beliau berkata, tindakan mitigasi dengan pemasangan beg pasir dan timbunan batu di kawasan terjejas tidak bersifat kekal kerana ia tidak dapat menghalang hakisan terus berlaku.
Menurutnya, pihaknya khuatir dengan kejadian alam yang berlaku di dua lokasi tumpuan pelancong dan penduduk setempat itu sehingga memusnahkan ruang pesisir pantai berkenaan.