ALOR SETAR - Isu tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang dilaksanakan mengikut lunas perundangan dan Perlembagaan Persekutuan, berbeza dengan tuntutan ke atas Sulu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, langkah yang diambil juga berbeza dengan tuntutan dibuat waris Sulu ke atas Sabah khususnya dari segi kedaulatan.
"Kita akan pergi secara perlembagaan, dalam kerangka perlembagaan bukan diluar perlembagaan. Dia kata tak berperlembagaan itu macam mana, kita akan bertindak berdasarkan undang-undang sedia ada, tidak akan langgar apa-apa.
"(Isu) Sulu itu bukan dalam Malaysia, Sulu sultan pun tak ada dah, kita (Kedah) ada lagi, jauh beza, tidak sama," katanya.
Muhammad Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program 1 Bulan 1 Sukan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Khamis.
Tambah beliau, pembentangan akhir berkaitan tuntutan berkenaan sudah dibentangkan kepada kerajaan negeri dan dokumen lengkap pasukan peguam dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi.
“Kita akan berdepan secara berperlembagaan, dalam kerangka perlembagaan sedia ada, kita tidak akan melanggar undang-undang,” katanya.
Sanusi jelaskan, sekiranya wujud isu dan kes itu perlu dibawa ke hadapan, ia wajar ditangani melalui saluran yang betul dan berlandaskan undang-undang.
“Takkan semua tak berperlembagaan, kita pun baca buku. Insya-ALLAH perkara ini akan diselesaikan dengan baik,” katanya.
Pada Selasa, media melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan, tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang sama seperti tuntutan waris Sulu ke atas Sabah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menegaskan, tuntutan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap kedaulatan Pulau Pinang adalah tidak berperlembagaan.