Hakisan pantai di koridor utara Pulau Pinang dipercayai dipengaruhi faktor cuaca - Ketua Menteri

Iklan
Hakisan pantai di Batu Ferringhi menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

GEORGE TOWN – Kejadian hakisan pantai di beberapa lokasi di koridor utara Pulau Pinang termasuk Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan Tanjung Tokong dipercayai dipengaruhi oleh faktor semula jadi serta perubahan cuaca bermusim dan tidak dikaitkan secara langsung dengan aktiviti penambakan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menyiapkan laporan teknikal berkaitan hakisan tersebut dan menegaskan keperluan untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi secara segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.

Iklan
Iklan

“Yang Berhormat Exco telah memberikan penerangan terperinci mengenai kejadian hakisan di koridor utara Pulau Pinang.

"JPS juga telah menyiapkan laporan teknikal dan mengesyorkan tindakan mitigasi yang perlu dilaksanakan segera,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, kelulusan juga telah diberikan kepada JPS bagi melaksanakan projek mitigasi di kawasan hadapan Hotel Rasa Sayang yang dikenal pasti sebagai antara lokasi terawal mengalami hakisan sejak kebelakangan ini.

“Kawasan pembangunan tambahan di Koridor Utara hanyalah di Seri Tanjung Pinang manakala kawasan yang mengalami hakisan terletak sekurang-kurangnya 10 kilometer dari lokasi penambakan tersebut.

Iklan

"Tambahan pula, penambakan itu telah dijalankan sejak bertahun-tahun lalu,” jelasnya.

Beliau berkata, fenomena hakisan pantai tidak berlaku sepanjang masa sebaliknya bersifat bermusim dan dalam keadaan tertentu, pantai boleh pulih semula secara semula jadi selepas mengalami hakisan.

“Sebagai contoh di kawasan Hotel Rasa Sayang, hakisan berlaku mengikut musim.

“Ada kalanya selepas hakisan, proses semula jadi akan memulihkan semula pantai. Ini merupakan cabaran yang kita hadapi,” katanya.

Mengulas langkah pencegahan, Kon Yeow berkata, pembinaan tembok penahan ombak seperti yang dilaksanakan di Padang Kota Lama terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko hakisan daripada menjadi lebih serius.

“Kaedah ini boleh menahan atau mencegah hakisan namun pada masa yang sama proses semula jadi juga boleh menyebabkan perubahan sama ada hakisan atau pemulihan pantai,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyentuh mengenai projek 'beach nourishment' yang pernah dilaksanakan di Batu Feringgi kira-kira enam hingga tujuh tahun lalu, termasuk pembinaan dua saluran pelepasan air di Sungai Batu dan Sungai Emas.

“Projek itu bertujuan melanjutkan aliran keluar sungai ke arah laut bagi mengelakkan muara tersekat akibat pengumpulan pasir pantai yang boleh menyebabkan banjir di kawasan sekitar,” katanya.

Menurut beliau, kawasan pantai di Ferringhi Bay kini menunjukkan pemulihan semula jadi yang ketara malah menjadi lebih luas dan dimanfaatkan sebagai kawasan riadah serta aktiviti makanan dan minuman.

“Apa yang berlaku di Ferringhi Bay hari ini adalah proses semula jadi bukan disebabkan penambakan. Pesisir pantai utara Pulau Pinang sememangnya terdedah kepada perubahan cuaca.

"Isu hakisan pantai adalah kompleks dan perlu ditangani berdasarkan kepakaran teknikal.

“Biar JPS sebagai pakar menentukan kaedah terbaik untuk menangani isu ini. Mereka telah menyediakan laporan teknikal dan akan mencadangkan langkah mitigasi yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan hakisan tersebut dengan projek penambakan Pulau Andaman adalah tidak berasas kerana tiada kerja penambakan dijalankan pada tahun lalu.

Zairil menjelaskan bahawa penambakan Pulau Andaman telah bermula lebih sedekad lalu dengan kerja pemasangan perimeter perlindungan dilaksanakan sejak awal projek.

“Kerja yang sedang dijalankan ketika ini hanyalah pengisian baki kawasan yang telah dirancang.

“Jika penambakan ini benar-benar menjadi punca hakisan, kesannya sudah tentu berlaku sejak 10 tahun lalu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Zairil menegaskan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu lebih bertanggungjawab dalam mengemukakan pandangan kepada orang ramai.

“NGO tidak seharusnya membuat dakwaan melampau yang tidak berasas dan tanpa sokongan fakta,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri akan terus merujuk kepada agensi teknikal berkaitan bagi memantau keadaan hakisan pantai dan memastikan langkah mitigasi yang bersesuaian dapat dilaksanakan demi keselamatan serta kepentingan penduduk setempat.

Sebelum ini, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman mendakwa pembangunan berlebihan di kawasan yang terlalu hampir dengan garis pantai selain penambakan laut yang ketara dipercayai antara punca hakisan di Batu Ferringhi dan Tanjong Bungah pada tahun ini menjadi lebih teruk.

Beliau berkata, tindakan mitigasi dengan pemasangan beg pasir dan timbunan batu di kawasan terjejas tidak bersifat kekal kerana ia tidak dapat menghalang hakisan terus berlaku.

Menurutnya, pihaknya khuatir dengan kejadian alam yang berlaku di dua lokasi tumpuan pelancong dan penduduk setempat itu sehingga memusnahkan ruang pesisir pantai berkenaan.