Gelaran Home of Live yang digunakan Astro bukan sekadar slogan pemasaran, sebaliknya mencerminkan legasi panjang syarikat itu dalam membina hiburan langsung yang menyatukan rakyat Malaysia sejak awal tahun 2000-an.
Sejak lebih dua dekad lalu, Astro telah menerajui hiburan langsung menerusi format realiti ikonik seperti Akademi Fantasia, Astro Talent Quest dan Aattam 100 Vagai. Rancangan berkenaan bukan sahaja menghiburkan, malah berjaya mengangkat rakyat biasa menjadi selebriti terkenal serta menjadikan undian secara langsung sebagai satu fenomena nasional.
Bagi penonton daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia, Astro muncul sebagai platform hiburan yang bersifat segera, tempatan dan dekat dengan jiwa masyarakat.
Fenomena Akademi Fantasia
Akademi Fantasia (AF) yang mula bersiaran di Astro Ria pada Jun 2003 mencipta sejarah tersendiri apabila mengubah landskap televisyen Malaysia. Penonton tidak lagi sekadar menonton, sebaliknya terlibat secara aktif melalui undian, perbincangan dan pembentukan kerjaya peserta secara langsung.
Diadaptasi daripada rancangan Mexico, La Academia, AF menggabungkan latihan intensif, konsert mingguan dan episod diari yang menjadikannya tontonan wajib sehingga memecahkan rekod penarafan.
Rancangan itu melahirkan bintang pada kadar yang belum pernah berlaku sebelum ini. Vince Chong muncul sebagai bintang sulung AF dengan imej urban yang segar, manakala musim ketiga menyaksikan kemunculan Mawi yang mencetuskan fenomena ‘Tsumawi’.
Fenomena tersebut membuktikan keupayaan televisyen realiti tempatan membina sokongan peminat berskala besar, setanding artis antarabangsa. AF turut melahirkan bakat berpanjangan seperti Stacy Anam, Akim Ahmad, Hael Husaini dan Hafiz Suip yang masih kekal relevan dalam industri muzik hari ini.
Memperkukuh Mandopop dan seni India
Pengaruh Astro turut merentasi kandungan bukan berbahasa Melayu. Astro Talent Quest menjadi platform utama melahirkan bakat Mandopop Malaysia yang berjaya menembusi pasaran serantau.
Kemenangan Nicholas Teo pada 2002 membuka laluan kepada kemasyhuran di Taiwan, manakala alumni lain seperti Gary Chaw dan Eric Lin menerima pengiktirafan antarabangsa, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pemain penting dalam ekosistem hiburan Cina.
Bagi komuniti India Malaysia pula, Aattam 100 Vagai memainkan peranan penting sebagai pertandingan tarian unggulan yang melahirkan penari dan koreografer berkualiti tinggi, selain meningkatkan standard produksi hiburan Tamil tempatan.
Lebih signifikan, rancangan itu memastikan bakat vernakular mendapat akses kepada platform berskala besar dengan capaian nasional.
Membina ekosistem industri hiburan
Legasi sebenar rancangan realiti Astro terletak pada sumbangannya dalam memprofesionalkan industri hiburan tempatan. Sebelum kemunculan rancangan realiti, laluan menuju kemasyhuran bersifat terpisah dan tidak tersusun.
Astro membina ekosistem menyeluruh merangkumi latihan, pendedahan, sokongan radio serta pengurusan pasca rancangan bagi membolehkan bakat membina kerjaya mampan selepas pertandingan berakhir.
Melalui kerjasama dengan stesen radio seperti ERA, MY FM dan RAAGA serta rangkaian pengurusan bakatnya, Astro memastikan artis terus relevan selepas detik kemuncak mereka.
Struktur ini bukan sahaja melahirkan bintang, malah mewujudkan peluang pekerjaan dalam ekonomi kreatif termasuk penerbit, pemuzik, penggaya dan juruteknik, selain membuktikan kandungan tempatan mampu menyaingi kandungan import.
Rancangan langsung kekal relevan
Sehingga kini, rancangan langsung Astro terus menjadi penanda aras budaya merentas komuniti. Penonton Melayu kekal setia menyokong Gegar Vaganza yang muncul sebagai rancangan televisyen nombor satu di Malaysia, selain program popular lain seperti Big Stage, Musikal Lawak Superstar, Kilauan Emas dan Mualim Muda.
Penonton Cina pula mengikuti Astro Star Quest dan Classic Golden Melody, manakala komuniti India meraikan bakat melalui Aattam dan Big Stage Tamil.
Merangkumi muzik, tarian, komedi dan program berunsur keagamaan, rancangan berkenaan membuka peluang kepada bakat baharu, penghibur berpengalaman serta warga emas yang kembali menyerlah di pentas.
Selain hiburan hujung minggu, rancangan langsung menjadi tulang belakang ekosistem hiburan negara dengan menjana peluang pekerjaan serta membuka ruang kepada aktiviti luar televisyen seperti produksi muzik, penganjuran acara dan kolaborasi jenama.
Memelihara kesinambungan budaya
Platform hiburan langsung Astro turut memainkan peranan penting dalam memelihara kesinambungan budaya. Program berbahasa Cina seperti Astro Star Quest dan Classic Golden Melody memastikan muzik, bahasa dan tradisi persembahan terus diwarisi oleh generasi baharu.
Ia membolehkan bakat berkarya dalam bahasa ibunda, mengeratkan hubungan keluarga merentas generasi serta memastikan warisan budaya terus hidup dan berkembang.
Rancangan langsung Astro juga mencerminkan realiti masyarakat majmuk Malaysia. Musim terkini Gegar Vaganza menampilkan penyanyi veteran Cina, Datuk Elaine Kang, manakala Astro Star Quest menjemput penyanyi Melayu seperti Layla Sania dan Amsyar Leee sebagai artis jemputan.
Detik lintas budaya itu menggambarkan peranan Astro dalam memupuk perpaduan melalui hiburan langsung yang meraikan kepelbagaian secara semula jadi.
Pelantar bakat tempatan
Bagi artis, rancangan ini menjadi pelantar pelancaran kerjaya, manakala bagi penonton, ia mencipta pengalaman bersama yang mengeratkan hubungan komuniti. Impaknya melangkaui penarafan dengan merangsang jualan muzik, penglibatan jenama dan peluang antarabangsa untuk bakat tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario, format langsung sentiasa menjadi sebahagian daripada DNA Astro.
“Daripada era awal Akademi Fantasia hingga ke format langsung hari ini merentas televisyen dan platform digital, kami membina platform yang meraikan bakat dan mencipta detik yang tidak dapat dilupakan.
“Menjadi Home of Live bukan sekadar tentang penyiaran, tetapi menghubungkan komuniti melalui pengalaman masa nyata.
“Ke hadapan, Astro akan terus memperkukuh inovasi dengan mengintegrasikan penglibatan sosial, undian interaktif dan peluasan penstriman bagi memastikan hiburan langsung kekal segar, inklusif dan mudah diakses di setiap skrin,” katanya.
Dengan pengalaman puluhan tahun membentuk hiburan langsung di Malaysia, Astro terus berevolusi seiring perubahan tabiat penonton, sambil kekal komited terhadap bakat sebenar, hubungan masa nyata dan detik nasional yang dikongsi bersama rakyat