KUALA LUMPUR - Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia berpotensi meningkat sebanyak 25 mata asas pada 2027 didorong oleh jangkaan bahawa kadar faedah global terus meningkat, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu memaklumkan pasaran menjangka peningkatan 25 mata asas lagi untuk Kadar Dana Persekutuan (FFR) Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2026, dengan negara lain berpotensi mengambil langkah yang sama.
Iklan
Iklan
"Terdapat kemungkinan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas -- kenaikan sebanyak 50 mata asas dilihat sukar berikutan OPR tidak bergerak seiring dengan FFR dan inflasi tempatan adalah terkawal.
"Bagaimanapun, tiada keperluan mendesak untuk menaikkan OPR berikutan ekonomi domestik yang kukuh,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini, sambil menambah sebarang kenaikan OPR dijangka pada 2027.
Kenaikan OPR secara amnya akan memberi manfaat kepada margin faedah bersih (NIM) bank berikutan hasil pinjaman yang lebih tinggi boleh menjadikan pendanaan borong lebih berdaya maju dan memberikan kelegaan daripada persaingan deposit.
Berdasarkan analisis senarionya, MBSB Research memaklumkan AmBank, Bank Islam Malaysia Bhd, Public Bank Bhd dan RHB Bank Bhd berpotensi memperoleh manfaat NIM yang lebih besar daripada kenaikan kadar faedah manakala CIMB Group Holdings Bhd dan Malayan Banking Bhd dapat menghadapi impak daripada pendedahan terhadap pasaran Indonesia.
Secara keseluruhan, MBSB Research mengekalkan saranan positifnya terhadap sektor perbankan, disokong oleh prospek dividen, pertumbuhan pinjaman perniagaan, pendapatan fi dan kawalan perbelanjaan operasi walaupun terdapat beberapa faktor berkaitan pertumbuhan, terutamanya pinjaman perniagaan dan pendapatan pengurusan kekayaan, dijangka tidak berpanjangan. - Bernama