JAKARTA - Ahli UMNO diminta untuk menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati proses atau keputusan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Perkara tersebut dimaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada satu sidang akhbar pada Jumaat.
Menurutnya, bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli UMNO, beliau merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta menzahirkan penghargaan atas limpah ihsan Baginda.
“UMNO menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku serta menzahirkan setulus-tulus penghargaan atas limpah ihsan Duli Maha Mulia Baginda,” katanya pada Jumaat.
Media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Ahmad Zahid berkata, bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli UMNO, beliau merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta menzahirkan penghargaan atas limpah ihsan Baginda.
“Dengan penuh takzim, saya bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli UMNO merafak sembah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“UMNO menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku serta menzahirkan setulus-tulus penghargaan atas limpah ihsan Baginda,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah, yang disifatkannya amat bermakna buat bekas Perdana Menteri itu, keluarga serta seluruh keluarga UMNO.
“Perkembangan ini amat bermakna buat beliau dan keluarga, serta seluruh keluarga UMNO yang selama ini tidak putus menaruh harapan dan menitipkan doa,” ujar beliau.
Beliau berkata, pendirian UMNO sejak awal adalah untuk membawa permohonan berkenaan dengan penuh tertib dan rendah hati melalui saluran yang ditetapkan.
“Penghormatan kepada institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang akan terus menjadi pegangan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid bersyukur atas perkembangan berkenaan yang disifatkannya membawa kelegaan besar buat Najib dan keluarga serta akan sentiasa dikenang dengan penuh penghargaan oleh seluruh keluarga UMNO.
“Semoga ALLAH SWT terus mengurniakan kesejahteraan kepada Tuanku serta memelihara keamanan dan keharmonian negara," katanya.