SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden memuat naik satu hantaran berbentuk kiasan di media sosial ketika isu pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sedang hangat diperdebatkan.
Tanpa menamakan mana-mana individu secara khusus, Ahli Parlimen Alor Setar itu menggunakan analogi pasukan bola sepak untuk menggambarkan situasi politik semasa yang berlaku dalam gabungan tersebut.
Beliau memberi perumpamaan seorang penjaga gol yang meletakkan jawatan sebelum jurulatih memanggil pasukan untuk berbincang bagi melantik penjaga gol baharu.
“Tiba-tiba penjaga gol yang letak jawatan minta tiang gol dimansuhkan. Katanya, tak perlu ada gol. Maka tak perlu ada penjaga gol. Tak perlu bincang.
“Kalau macam tu, lebih baik turap sahaja padang bola dengan simen. Pasang bumbung. Buat dewan kenduri. Tak perlu ada padang.
“Zaman sekarang, makan kawan lagi sedap daripada makan kenduri,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Terdahulu, tular isi kandungan surat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dialamatkan kepada empat presiden parti komponen PN berkaitan kemelut pelantikan pengerusi gabungan itu, yang kosong sejak 1 Januari lalu.
Antara kandungan surat bertarikh 27 Januari itu, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan Pas bersetuju memansuhkan jawatan Pengerusi PN sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan tersebut.
Selain itu, turut tersebar maklumat mengenai pembatalan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan berlangsung malam ini, bagi membincangkan isu tersebut.
Susulan perkembangan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap semua butiran yang terkandung dalam surat tersebut, khususnya berkaitan cadangan penubuhan Majlis Presiden PN serta pemansuhan jawatan Pengerusi PN.
Rentetan situasi itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa semua pihak, khususnya parti komponen PN, agar menghentikan kenyataan terbuka di ruang awam yang hanya akan memburukkan keadaan.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyeru agar semua pihak mengutamakan mekanisme dalaman dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku secara berhemah.