SHAH ALAM- Semua pihak khususnya parti komponen Perikatan Nasional (PN) perlu menghentikan kenyataan terbuka di ruang awam yang hanya mengeruhkan keadaan, sebaliknya mengutamakan mekanisme dalaman bagi meleraikan kemelut secara berhemah.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelbagai kemelut berlaku ketika ini yang menuntut semua pihak kembali ke meja perbincangan.
"PN ialah gabungan yang menjadi harapan rakyat. Kesepaduan yang dibina selama ini tentunya tidak disenangi, malah dicemburui oleh seteru politik, khususnya PH-BN.
"Justeru, jangan kita membuka ruang yang memudahkan musuh memecah-belahkan perpaduan PN. Perbezaan pandangan mesti diurus dengan matang agar muafakat sedia ada terus utuh," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) PN turut menjelaskan, dalam muafakat politik, tidak semua yang diinginkan akan diperoleh, begitu juga sebaliknya.
Bagaimanapun katanya, sikap saling menghormati serta berpegang teguh kepada asas persefahaman adalah kunci kekuatan gabungan.
"Ketika ini, ada pihak yang bertepuk tangan melihat PN bertelagah sesama sendiri.
"Mereka mengharapkan muafakat ini berakhir. Dalam keadaan begini, tidak mustahil musuh menyelinap masuk untuk menimbulkan keraguan dan pertikaian, sehingga muafakat semakin melemah.
"Kita mesti kembali memperkukuh muafakat bersama, mengeratkan jalinan, dan memperkemas kerjasama. Rakyat masih menaruh harapan kepada kita," ujarnya.
Justeru katanya, PN perlu bermuhasabah, membaiki kelemahan dan kekurangan, jika benar-benar mahu gabungan itu terus diberi kepercayaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU ) akan datang.
Beliau juga menuntut agar parti gabungan PN menghentikan kenyataan yang mengguris perasaan rakan muafakat.
"Jangan menikam belakang kawan sendiri, apatah lagi berbangga menjatuhkan rakan gabungan. Hormatilah keputusan parti-parti rakan, dan bersedia menerima teguran serta pandangan dengan lapang dada.
"Ada pihak yang tulisannya baik dan membantu memperkukuh jemaah, itu penting bagi menjelaskan kekeliruan serta mendokong keputusan parti.
"Namun, ada juga pihak yang lebih baik berhenti menulis jika ia hanya berterusan mengelirukan ahli. Maka, tepuk dada tanya selera: di manakah posisi yang wajar kita ambil demi muafakat ini?," katanya.