SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mendakwa, dirinya menjadi sasaran dengan label negatif susulan pendirian parti dalam usaha mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
Beliau berkata, terdapat pihak disifatkan sebagai 'kepanasan' dipercayai berkait dengan penarikan balik pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) di Parlimen.
Tambah Muhamad Akmal, individu yang gila kuasa tidak akan berani melepaskan jawatan.
"Saya hendak beritahu Nga Kor Ming (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) lebih hina lagi orang yang gila kuasa dan tiada maruah bila sekadar menumpang dalam kerajaan Melaka.
"Tetapi takut lepaskan jawatan kerana takut hilang kuasa dan gaji besar untuk diri sendiri, malulah cakap tidak serupa bikin," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Muhamad Akmal menegaskan bahawa segala kecaman dan label yang diberikan tidak akan menghalangnya daripada terus berpegang kepada prinsip perjuangannya.
“Kamu labellah apa sekalipun, yang penting aku buat demi untuk pertahankan agama,bangsa dan tanah air aku,” ujarnya.
Sebelum ini Muhamad Akmal menggesa ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menolak RUU URA yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.
Bagaimanapun, Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, RUU URA ditarik balik bagi membolehkan penambahbaikkan menyeluruh dilakukan sebelum dibentang semula di Parlimen.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Kabinet secara dasar bersetuju bahawa wujud keperluan untuk menambah baik RUU itu bagi membolehkan isu perumahan di kawasan bandar khususnya berkait dengan miskin bandar diatasi secara tuntas dan adil.