SHAH ALAM - Seorang bekas komando dari Bangi gigih berjuang melawan kanser selepas disahkan menghidap penyakit tersebut pada 2023.
Mohd Azuan Asmuni, 40, yang sebelum ini dikenali sebagai seorang yang lincah dan aktif, malah pernah menyertai serta memenangi pelbagai acara triathlon terpaksa melupakan sukan kegemarannya bagi memberi tumpuan kepada rawatan seterusnya pemulihan diri.
Isterinya, Salwani Suhaida Mukhtar, 46, berkata, kehidupan suami yang merupakan pesara tentera berubah 180 darjah selepas disahkan mengidap kanser, namun tidak pernah berputus asa dan terus berjuang melawan penyakit dihidapi sejak tiga tahun lalu.
"Suami pernah menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Ampang sebelum melalui proses transplan, namun mengalami komplikasi jangkitan kuman pada paru-paru, kencing berdarah, ulser dan selepas itu jangkitan kuman pada paru-paru.
"Semua jangkitan selepas transplan dikenali sebagai GvHD (Graft-versus-host disease) menyebabkan penglihatan suami menjadi kabur, pendengaran merosot dan tidak mampu berjalan jauh akibat sesak nafas," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambahnya, Azuan juga pernah ditidurkan selama tiga hari pada bulan Disember lalu selepas mengalami masalah paru-paru kronik yang serius.
"Dahulu dia atlet, masuk Ironman buat dalam 10 jam sahaja. Dalam tentera dia juga berada dalam kumpulan sukan lasak Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," ujarnya.
Salwani memaklumkan, suaminya juga aktif dan memiliki stamina tinggi hingga pernah memegang rekod individu pertama menawan Gunung Tahan dalam tempoh enam jam 29 minit sahaja, selain mampu berlari 3 hingga 5 kilometer (km) sehari.
Bagaimanapun hatinya cukup pilu melihat kesihatan suaminya merosot dengan berat badan turun mendadak, ditambah masalah lain apabila jatuh sakit, malah kesan kimoterapi menyebabkan kulit kehitaman.
Namun apa yang membanggakan wanita itu, suami terus gigih berjuang dan tetap berusaha menguruskan diri termasuk tidak mengabaikan ibadah solat meskipun keadaan semakin lemah.
Menurutnya, tiga anak mereka yang masing-masing berusia 10, lapan dan empat tahun menjadi salah satu sumber kekuatan utama suaminya untuk terus melawan kanser terbabit.
“Sebagai isteri, saya pun tidak kuat sebenarnya tapi kena berlakon kerana siapa lagi yang boleh suami bergantung harap untuk pemeriksaan dan sebagainya. Anak-anaklah jadi kekuatan kami," katanya.
Dalam masa sama, Salwani mengakui terpaksa melakukan pengorbanan besar demi memastikan suaminya dapat menghadiri sesi rawatan dan pemeriksaan berkala di Hospital Ampang.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, perkongsian Azuan di media sosial tentang perjuangan melawan kanser terbabit adalah demi memupuk kesedaran mengenai pentingnya menjaga kesihatan, pemakanan, selain tidak berputus asa untuk menjalani rawatan.
"Saya cakap kepada suami yang dia memiliki pengalaman lawan kanser, pengalaman buat transplan. Mengapa tidak kongsinya kerana orang biasa tidak tahu mengenainya," ujarnya.
Salwani berkata, perjuangan suaminya adalah bukti bahawa pesakit kanser masih mampu memberi inspirasi melalui pengalaman sendiri walaupun berdepan kesakitan dan kepayahan rawatan.
"Hanya orang mengalaminya saja tahu macam mana hendak mengatasinya dan dia cuba beri kekuatan itu. Apabila suami buat siaran langsung, saya perasan ada juga sedang menjalani rawatan kimoterapi.
"Ada bersedih, ada bertanya mengapa mereka kena kanser. Ada macam-macam soalan," katanya lagi.
Tambah Salwani, dia dan suami berharap kisah mereka dapat memberi semangat kepada pesakit lain supaya tidak berputus asa dan terus mencari kekuatan dalam apa jua keadaan.