Puncak Alam, Saujana Utama digempur banteras peniaga warga asing

Iklan
Seorang anggota penguat kuasa MPKS melakukan tindakan sitaan dalam operasi itu pada Selasa.

KUALA SELANGOR - Puncak Alam dan Saujana Utama terus digempur sebagai lokasi tumpuan premis warga asing berikutan masih wujud peniaga yang beroperasi tanpa lesen dan melanggar peraturan ditetapkan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, operasi bersepadu pada Selasa itu dijalankan selepas menerima aduan awam.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, operasi dari jam 9 pagi hingga 2.30 petang itu disertai 40 anggota penguat kuasa pelbagai agensi.

"Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kawalan Bangunan MPKS, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS, Unit Korporat, Pelancongan dan Perhubungan Awam MPKS, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Selangor serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kuala Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, sebanyak 12 premis diperiksa melibatkan pelbagai jenis perniagaan termasuk gunting rambut, pusat cuci kenderaan, kedai karpet, kedai perabot serta kedai runcit dan makanan.

"Hasil pemeriksaan mendapati lapan premis menjalankan perniagaan, manakala empat premis tidak beroperasi ketika operasi dijalankan,” katanya.

Iklan

Mohamad Lutfi berkata, kesemua lapan premis yang beroperasi dikenakan tindakan penguatkuasaan atas pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan dikesan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen, pelanggaran syarat lesen, kesalahan kebersihan, iklan tanpa lesen serta ketidakpatuhan terhadap undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 18 kompaun dan 11 notis dikeluarkan oleh jabatan serta agensi terlibat.

"Tindakan lebih tegas turut diambil apabila peralatan perniagaan disita ke atas tiga premis melibatkan peralatan gunting rambut, peralatan cuci kenderaan dan peralatan penyediaan makanan,” katanya.

Menurutnya, MPKS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis yang ingkar dan mengambil mudah pematuhan undang-undang.

"Operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan bagi memastikan keselamatan, kebersihan dan kesihatan masyarakat setempat terus terpelihara,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pengusaha premis supaya mematuhi sebarang syarat dan peraturan ditetapkan.

"MPKS akan terus menjalankan operasi seperti ini dan mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas," tambah beliau.

Jumaat lalu, MPKS menggempur tujuh premis perniagaan yang dikendalikan warga asing di Puncak Alam.