JAIS nafi tanggung kos roboh, pengosongan tanah di PJS4

Iklan
Mohd Shahzihan

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan pihak berkuasa agama itu menanggung kos perobohan dan pengosongan tanah perkuburan Islam di PJS4 yang diceroboh pihak tertentu seperti tular di media sosial, baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, dakwaan itu merujuk kepada satu hantaran di platform Threads oleh seorang pemilik akaun pada 26 Januari lalu.

Iklan
Iklan

"Semua kos berkaitan perobohan dan pengosongan tanah yang diceroboh tidak ditanggung oleh JAIS, sebaliknya dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan Selangor selaras dengan tanggungjawabnya dalam perkara berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, JAIS dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga menafikan dakwaan mengenai wang zakat dan wakaf digunakan bagi tujuan perobohan serta pengosongan tanah berkenaan.

Iklan

Menurutnya, MAIS melaksanakan tanggungjawab secara amanah mengikut undang-undang dan ketetapan hukum syarak dalam mengurus serta menjaga dana umat Islam, selain memahami dengan jelas perkara yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Mohd Shahzihan menasihatkan orang ramai tidak bimbang dengan dakwaan yang dibangkitkan kerana dana zakat dan wakaf terus dipelihara untuk kepentingan umat Islam.

Iklan

"MAIS akan terus menjaga dana dan wang umat Islam supaya digunakan bagi perkara yang memberi manfaat kepada umat Islam selaras dengan tanggungjawab di bawah Seksyen 7 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003," tambah beliau.