Bukit Tagar batal, cerita babi belum habis

Iklan
Kerajaan Selangor umum projek ladang babi di Bukit Tagar dibatalkan sementara. Foto hiasan

DUA hari, dua pusingan U, tetapi satu sebab yang sama iaitu tekanan rakyat. Hari pertama, kerajaan Selangor umum projek ladang babi di Bukit Tagar dibatalkan sementara.

Hari kedua, kerajaan Persekutuan pula umum ujian diagnostik untuk kanak-kanak enam tahun masuk Tahun Satu tak jadi dilaksanakan.

Iklan
Iklan

Dua isu berbeza, tapi coraknya hampir serupa. Bantahan rakyat datang dulu, keputusan kerajaan menyusul kemudian. Merak Jalanan puji kerana kerajaan nampaknya mendengar.

Isu ladang babi bukan hal kecil. Ia menyentuh kebersihan, alam sekitar, sensitiviti setempat dan emosi komuniti. Bila rakyat resah, suara mereka wajar diambil kira.

Iklan

Namun dalam masa sama, timbul persoalan lain. Kalau benar projek itu masih di peringkat awal, mengapa bunyinya seolah-olah sudah hampir berjalan? Mengapa penjelasan terperinci hanya muncul selepas bantahan membesar?

Dalam isu Bukit Tagar, pembatalan sementara bukan noktah. Ia tanda koma. Selagi tiada keputusan muktamad, ruang untuk projek 'hidup semula' sentiasa ada.

Iklan

Mungkin di lokasi lain. Mungkin dengan nama berbeza. Mungkin bila suhu emosi sudah reda, sudahnya di situ juga kandang babi dibina.

Pengalaman lalu banyak mengajar Merak Jalanan. Ada dasar yang pada awalnya disebut 'belum dimuktamadkan' atau 'masih dalam rundingan' tetapi akhirnya berjalan juga, diumumkan sedikit demi sedikit, tanpa hingar.

Soal ujian diagnostik pula lain ceritanya. Anak sekolah, isu psikologi dan masa depan. Kerajaan pilih jalan mudah. Tarik brek awal. Itu wajar. Bezanya, babi bukan boleh dipujuk dengan psikologi. Ia soal tapak, jarak, dan kesan.

Maka soalan sebenar bukan batal atau tidak. Isunya adakah kali ini benar-benar tamat atau sekadar tangguh? Merak Jalanan tunggu, rakyat pun sama.