Sekolah bukan kilang, tetapi kenapa kita suka acuan sama?

Iklan
Murid masuk sebagai bahan mentah dan keluar pula sebagai produk siap iaitu melalui fasa dinilai, digredkan dan disusun mengikut keputusan. Foto Imej janaan AI

MERAK Jalanan sering tertanya-tanya, sejak bila sekolah berfungsi seperti kilang?

Murid masuk sebagai bahan mentah, keluar pula sebagai produk siap iaitu melalui fasa dinilai, digredkan dan disusun mengikut keputusan.

Iklan
Iklan

Si cemerlang diraikan, yang sederhana pula dipujuk supaya mengejar, manakala yang berbeza diminta menyesuaikan diri.

Dalam sistem pendidikan hari ini, kita terlalu selesa dengan keseragaman. Murid yang cepat faham dianggap sebagai contoh, yang perlahan pula sering dilihat sebagai masalah. Murid yang cenderung kepada akademik diberi laluan luas, manakala bakat dalam bidang seni, sukan dan kemahiran lain kerap disimpan di tepi dengan alasan ‘nanti dulu’.

Iklan

Situasi itu seolah-olah menggambarkan bahawa semua anak perlu sampai ke destinasi yang sama, walaupun bermula dari titik yang berbeza.

Merak Jalanan tidak menafikan kepentingan pencapaian dan disiplin. Namun, apabila kejayaan hanya diukur melalui satu jenis kecerdasan, kita sebenarnya sedang mengecilkan makna pendidikan.

Iklan

Budaya membanding ini pula bermula terlalu awal. Dari bilik darjah ke kumpulan WhatsApp ibu bapa, perbandingan menjadi rutin tanpa sedar. Siapa dapat A lebih banyak, siapa di kelas hadapan, siapa yang kurang menyerlah.

Sedangkan dunia sebenar tidak beroperasi dengan satu acuan. Masyarakat dibina dengan pelbagai jenis kebolehan seperti penyumbang idea, yang mahir dengan tangan, atau memimpin dengan empati.

Merak Jalanan percaya, sekolah sepatutnya menjadi ruang untuk meneroka, bukan menapis. Tempat murid mengenal potensi diri, bukan sekadar memenuhi jangkaan orang dewasa.