Lorong tikus jadi laluan seludup migran, 66 ejen tempatan ditahan

Iklan
Adzli (dua dari kanan) pada sidang akhbar di IPK Kedah di Alor Setar pada Rabu.

ALOR SETAR – Penglibatan warga tempatan dalam aktiviti penyeludupan migran membimbangkan apabila 66 ejen tempatan ditahan polis di Kedah sejak tahun 2023 hingga 26 Januari lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dalam tempoh sama, pihaknya turut menahan 42 ejen warga asing yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 29 ejen tempatan dan 15 ejen warga asing ditahan pada tahun 2023, diikuti 16 ejen tempatan dan 11 ejen warga asing (2024), manakala tahun 2025 merekodkan 18 ejen tempatan dan lima ejen warga asing.

“Setakat 26 Januari tahun ini pula, polis menahan tiga ejen tempatan dan 11 ejen warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Rabu.

Iklan

Adzli berkata, sindiket terbabit menggunakan lorong tikus sebagai laluan utama penyeludupan sama ada melalui sempadan Padang Besar, Perlis, Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung di Kedah.

Jelasnya, perairan antarabangsa Thailand–Malaysia ke Langkawi dengan menggunakan bot kecil turut jadi laluan sindiket berkenaan.

Iklan

"Aktiviti penyeludupan migran itu merupakan satu jenayah serius kerana berupaya menggugat keselamatan negara dan menjejaskan ketenteraman awam.

“Dalam tempoh sama, seramai 577 migran pelbagai warganegara telah ditahan dengan warga Myanmar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 481 orang," ujarnya.

Tambahnya, migran memilih Malaysia sebagai destinasi kerana faktor kestabilan sosial dan ekonomi negara selain kedudukan geografi yang berhampiran dengan Myanmar.

Beliau berkata, situasi berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana memberi implikasi besar kepada negara, termasuk kos tinggi yang terpaksa ditanggung kerajaan bagi penyediaan makanan, rawatan perubatan dan tempat tinggal sementara, selain isu depoh tahanan penuh.

Dalam perkembangan berkaitan, Adzli berkata, polis turut menahan 73 individu, termasuk warga Myanmar dan tempatan dalam tiga serbuan berasingan menerusi Op Pintas Khas di daerah Kubang Pasu dan Baling bulan ini.

“Seramai 11 ejen warga Myanmar, tiga ejen tempatan serta 59 migran warga Myanmar dan Amerika Syarikat berusia antara setahun hingga 61 tahun ditahan.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.