KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan 15 Mei depan untuk keputusan semakan kehakiman oleh tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencabar keputusan Menteri Kesihatan dan kerajaan yang mengecualikan cecair dan gel vape daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.
Tiga NGO itu ialah Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MKTM), Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA) dan Voice of Children (VOC).
Hakim, Datuk Aliza Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas peguam, K Shanmuga yang mewakili tiga NGO berkenaan selaku pemohon sementara Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan bagi pihak Menteri Kesihatan dan kerajaan sebagai responden, selesai berhujah.
Semasa prosiding, Shanmuga berkata, Menteri Kesihatan yang juga responden pertama, terkhilaf kerana tidak berunding dengan Lembaga Racun sebelum Kabinet meluluskan untuk menyah cecair nikotin daripada senarai bahan terkawal.
Katanya, keputusan 31 Mac 2023 untuk mengeluarkan nikotin cecair daripada Senarai Racun secara efektifnya menyebabkan produk vape tidak dikawal selia dan membenarkannya dijual secara sah kepada kanak-kanak.
“Situasi ini berterusan hampir 17 bulan, sehingga Akta Kawalan Produk Rokok untuk Kesihatan Awam 2024 akhirnya berkuat kuasa pada Oktober 2024.
“Keputusan yang dicapai oleh kerajaan merupakan suatu kecacatan maka mahkamah boleh memutuskan isu berbangkit meskipun perkara itu kini telah berlalu atau bersifat akademik,” katanya.
Beliau berkata, keputusan yang dicapai itu masih boleh dicabar di mahkamah kerana ia melibatkan isu undang-undang yang berkepentingan.
Bagaimanapun, Nurhafizza berkata, isu yang dibangkitkan oleh pihak NGO telah dimuktamadkan sebelum undang-undang tersebut dilaksanakan.
Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 telah dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen pada 30 November 2023.
Beliau berkata, antara peruntukan yang terkandung dalam RUU itu termasuk larangan penjualan dan penggunaan rokok, produk tembakau, produk merokok dan produk pengganti tembakau kepada kanak-kanak bawah umur.
"Responden berhujah bahawa dengan kelulusan RUU ini, tiada lagi jurang dalam undang-undang berkaitan kawalan penggunaan, penjualan dan rokok elektronik kepada orang ramai dan terutamanya kanak-kanak.
“Menteri Kesihatan sebelum ini telah jelas melaksanakan kuasanya yang diberikan oleh badan perundangan menurut Seksyen 6 Akta Racun semasa membuat keputusan itu," katanya yang hadir bersama Peguam Persekutuan, Afiq Zainal Abidin.
Pada 14 Oktober 2023, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Pertubuhan Malaysian Green Lung (MGLA) dan Voice of the Children (VOC) sebagai pemohon mendapat kebenaran daripada mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Kementerian Kesihatan dan kerajaan sebagai responden.
Ketiga-tiga NGO itu memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 30 Jun tahun sama, untuk membatalkan sebahagian daripada Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) yang dibuat oleh responden pertama pada 31 Mac 2023 dan memohon pengisytiharan bahawa arahan itu sebagai tidak sah.
Ia membabitkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang diluluskan di Dewan Rakyat, penjual dilarang menjual produk rokok termasuk vape dan e-rokok kepada golongan bawah umur.
RUU itu telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 30 November tahun sama, iaitu individu bawah umur 18 tahun tidak boleh merokok (vape yang mengandungi nikotin dan e-rokok).
Sementara itu, peguam, Edmund Bon, yang mewakili ketiga-tiga NGO itu berhujah bahawa RUU baharu itu masih belum disahkan menjadi undang-undang oleh Dewan Negara.
Justeru, belum ada undang-undang yang boleh dikuatkuasakan terhadap penjualan cecair dan produk gel yang mengandungi nikotin kepada kanak-kanak.
Beliau berkata apabila Menteri Kesihatan (ketika itu), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa membuat keputusan menyahsenarai nikotin pada 31 Mac, tiada undang-undang pada masa itu melarang penjualan produk ini kepada golongan bawah umur.