PUTRAJAYA – Lima individu direman bagi membantu siasatan ke atas beberapa syarikat yang dipercayai terlibat dalam perbuatan rasuah berkaitan urusan pelantikan syarikat kroni seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Mereka terdiri daripada pengarah syarikat, pengurus serta pemilik syarikat.
Perintah reman terhadap kesemua individu berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Empat individu direman selama tiga hari bermula Selasa, manakala seorang lagi direman tiga hari bermula Rabu bagi membantu siasatan.
Menurut sumber, semua individu yang direman dipercayai mempunyai hubung kait dengan syarikat kroni seorang pegawai kanan TLDM yang memperoleh kerja-kerja di TLDM Lumut.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan perkembangan tersebut.
Beliau berkata, siasatan dijalankan secara profesional dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan bahawa SPRM telah membekukan tujuh akaun syarikat dan 14 akaun perbankan milik beberapa individu, dianggarkan berjumlah kira-kira RM700,000, susulan siasatan ke atas syarikat-syarikat yang dipercayai terlibat dalam kes rasuah berkaitan cadangan dan pelantikan syarikat kroni seorang pegawai kanan TLDM.
SPRM menerusi Op Layar yang dijalankan Bahagian Perisikan turut menyita dua buah hotel milik pegawai kanan TLDM terbabit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2 juta.
Media sebelum ini turut melaporkan bahawa dua individu, iaitu seorang pengarah syarikat dan pegawai kanan TLDM berusia lingkungan 40-an dan 50-an, telah direman selama tujuh hari sehingga 29 Januari bagi membantu siasatan kes tersebut.
Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2017 hingga 2020.