Anggota bomba melecur ketika padam kebakaran di Pengerang

Iklan
Kesemua anggota telah ditugaskan melakukan operasi sehingga malam bagi memadamkan kebakaran tersebut dan juga dua lagi kawasan lain. - Foto JBPM Johor

KOTA TINGGI - Seorang anggota bomba melecur di kaki ketika melakukan operasi pemadaman kebakaran di Jalan Tuatau, Bandar Penawar.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Muhammad Al Mustakim Abdul Hady berkata, anggota berusia 20 tahun itu kini berada dalam keadaan stabil.

Iklan
Iklan

"Anggota terbabit mengalami cedera apabila kakinya terjerlus ke dalam kawasan kejadian ketika operasi pemadaman dilakukan.

"Anggota itu berada dalam keadaan stabil dan hanya dirawat sebagai pesakit luar sahaja," katanya kepada pemberita di pusat kawalan bomba di Taman Bayu Damai pada Rabu.

Iklan
Operasi pemadaman kebakaran di Jalan Tuatau, Bandar Penawar. - Foto JBPM Johor

Tambah beliau, kebakaran melibatkan kawasan pusat pengumpulan sampah yang berlaku sejak Sabtu lalu itu yang berkeluasan 10 ekar telah berjaya dipadamkan sepenuhnya pada Selasa.

"Kesemua anggota telah ditugaskan melakukan operasi sehingga malam bagi memadamkan kebakaran tersebut dan juga dua lagi kawasan lain.

Iklan

"Semalam kita sudah berjaya padamkan sampai habis di Jalan Tuatau dan hari ini kita buat proses 'overhaul' di kawasan tersebut," katanya lagi

Katanya, terdapat tiga kawasan di Pengerang yang terlibat dengan kebakaran iaitu di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai melibatkan keluasan 246 ekar, Kampung Lepau, 135 ekar dan juga Jalan Tuatau, Bandar Penawar.

Bomba masih belum dapat memastikan punca kebakaran tersebut. - Foto JBPM Johor

Menurutnya, pihaknya masih belum dapat memastikan sama ada kesemua kebakaran tersebut berpunca daripada pembakaran terbuka, unsur sabotaj disengajakan atau faktor lain seperti puntung rokok yang dibuang.

“Kita tidak boleh mengesahkan puncanya berlaku kebakaran namun, kebarangkalian itu tetap ada dalam keadaan cuaca yang kering dan berangin ketika ini, api boleh tercetus dengan mudah walaupun hanya daripada sumber kecil.

“Jika dibuat ujian sekali pun, puntung rokok yang dibuang dan terkena pada daun kering memang boleh menyebabkan kebakaran. Apatah lagi jika api itu sengaja dinyalakan, ia sememangnya boleh merebak dengan cepat,” katanya lagi.