Demonstrasi pertama dipuji PTD, anak AR Badul sertai demonstrasi kedua

Iklan
Ansari bersama ahli keluarga Allahyarham Mohd Zahir hadir ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Kejayaan demonstrasi yang diadakan pada 3 September 2019 di Kem Lok Kawi dan mendapat pujian daripada Panglima Tentera Darat (PTD) serta panglima lain menyebabkan Allahyarham Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya menyertai sekali lagi demonstrasi yang diadakan keesokan harinya.

Perkara itu didedahkan oleh saksi kedua pihak pembelaan defendan, Leftenan Kolonel Razahar Rashid, 43, yang memberikan keterangannya di Mahkamah Tinggi, di sini, pada Rabu.

Iklan
Iklan

Peguam mewakili plaintif, Erveana Ansari meminta saksi menjelaskan kepada mahkamah bagaimana seorang anggota tentera yang pangkatnya lebih rendah daripadanya boleh meyakinkan beliau untuk mengubah atau menambah gimik pada 4 September 2019.

"Arwah telah dilantik sebagai pengarah latihan demonstrasi dan bertanggungjawab penuh ke atas acara dan segmen yang dilaksanakan.

Iklan

"Kejayaan demonstrasi pada 3 September 2019 di mana telah mendapat pujian oleh PTD dan panglima-panglima yang menyaksikan demonstrasi tersebut telah membuatkan arwah untuk sekali lagi menyertai demonstrasi kedua bagi menaikkan nama pasukan 21 Grup Gerak Khas," kata Razahar.

Ditanya lanjut, bagaimana saksi tahu motif Mohd Zahir ketika itu, beliau memberitahu mahkamah bahawa perkara itu disampaikan sendiri oleh Allahyarham kepadanya.

Iklan

"Beliau menceritakan sendiri kepada saya semasa majlis makan malam bersama Panglima-Panglima di Wisma Pegawai 5 Divisyen," jelasnya.

Dalam prosiding tersebut, Razahar turut bersetuju bahawa beliau ada mengatakan bahawa peluru kosong dan peluru hidup digunakan semasa latihan dibuat pada 1 dan 2 September 2019.

Beliau juga turut diminta memberitahu mahkamah adakah peluru hidup digunakan semasa latihan demonstrasi menerusi eksibit video D1 yang ditayangkan di mahkamah.

"Ada, latihan yang pertama adalah arwah telah menggunakan peluru hidup kepada calon yang berada di kenderaan gempita.

"Manakala saya menggunakan peluru hidup menembak belon yang dibawa oleh dron bagi menjatuhkan kunci untuk membuka beg yang berisi buku dari meja PTD," katanya.

Sementara itu, dalam prosiding sama beliau tidak bersetuju dengan andaian peguam, Datuk Ansari Abdullah bahawa saksi terlepas sasaran perlindungan badan yang terdiri daripada dua plat semasa kejadian.

"Saya keseluruhannya tidak bersetuju, sebagai penembak tepat ia memerlukan flesibiliti dengan keadaan semasa mengikut situasi tersebut. Semasa tenangan (sasaran) dan tembakan dibuat, saya memerhatikan secara menyeluruh kedudukan vest tersebut.

"Ketika itu saya melihat kedudukan botol yang berisi cecair merah berada di bahagian pinggang arwah, tenangan yang dibuat di tengah-tengah rangka tubuh yang mana di bahagian atas vest yang dipakai arwah.

"Kedudukan botol dengan berat dua plat lebih kurang lima kilogram telah memberi beban dan menarik kedudukan vest jatuh ke bawah," jelasnya sambil menunjukkan demonstrasi pemakaian vest ke tubuhnya di mahkamah tersebut.

Saksi kemudian ditanya lanjut, adakah keterangannya itu menyatakan bahawa itulah kedudukan vest Allahyarham dan plat perisai semasa tembakan dilepaskan ke arahnya.

"Ya, dengan berat dua kali plat di belakang arwah dan untuk makluman pengurusan sepatutnya di badan arwah sendiri.

"Untuk vest yang dipakai oleh arwah, plat yang dimasukkan di dalam vest tidak berada di dalam kedudukan yang asal di dalam vest kerana vest arwah tidak dijahit bagi menetapkan kedudukan plat di tengah-tengah vest.

"Sepatutnya plat berada di tengah-tengah, tapi telah jatuh ke bawah," katanya dalam kenyataan tambahannya.

Sebelum itu, ahli keluarga Allahyarham melalui pasukan peguam mereka telah memulakan prosiding tuntutan saman terhadap sembilan defendan termasuk bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Prosiding tersebut di dengar oleh Hakim Datuk Alexander Siew How Wai di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Pasukan peguam plaintif diwakili oleh Ansari bersama anaknya, Erveana dan Noor Shazwani Sapri manakala pasukan pembelaan defendan ialah Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb dan Peguam Persekutuan, Siti Norashikin Hassanor serta Wan Nur Muhammad Ehsan Alauddin.

Mohd Zahir, 36, yang juga anak kepada pelakon popular A R Badul disahkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, pada 4 September 2019.