Diburu hingga ke India, tiga ahli ‘Geng Captain Praba’ akhirnya didakwa

Iklan
Tiga lelaki yang didakwa terlibat dalam kumpulan jenayah jenayah terancang Geng Captain Praba dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang pada Rabu.

SEPANG - Tiga ahli 'Geng Captain Praba' yang dikehendaki kerana didakwa terlibat dalam kumpulan jenayah terancang dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Mereka ialah C Navindren Raj, 38, S Praftifkumar, 30, dan S Sridharan, 30.

Iklan
Iklan

Kesemua lelaki itu mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.

Bagaimanapun tiada pengakuan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil kerana pertuduhan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Iklan

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara Disember 2023 sehingga 11 September 2025 bertempat di ladang kelapa sawit lorong berhadapan Jalan Mahang 2, Kampung Sungai Jarom, Jenjarom di daerah Kuala Langat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan [Akta 574].

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim, V V Suloshani dan Lina Hanini Ismail.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, ketiga-tiga suspek ditangkap dalam Operasi Jack Sparrow oleh JSJ Bukit Aman berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen Sepang pada 14 Januari.

"Tangkapan telah dibuat pada 28 Januari.

"Penangkapan tersebut dibuat dengan kerjasama bantuan pihak berkuasa tempatan di Mumbai, India sebelum kesemua mereka dibawa pulang ke Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India atas kerjasama erat yang diberikan dan menegaskan komitmen berterusan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

Sebelum itu, ketiga-tiga suspek tiba kira-kira jam 2.35 petang di Mahkamah Sesyen Sepang dengan kawalan ketat anggota JSJ PDRM yang lengkap berpakaian taktikal sebelum diiring masuk ke kamar perbicaraan.

Terdahulu, media melaporkan tiga lelaki terbabit telah ditahan di Mumbai, India, Ahad lalu selepas bertindak ganas sebaik tiba di negara itu.

Mereka bertindak sedemikian selepas diusir dari United Kingdom (UK) apabila pegawai imigresen di Lapangan Terbang Manchester yang sudah dimaklumkan mengenai status ketiga-tiga individu itu sebagai 'penjenayah berprofil tinggi' menolak kemasukan mereka.

Susulan itu, kesemua suspek telah diterbangkan dengan pesawat komersil diiringi kawalan ketat pegawai dan anggota JSJ Bukit Aman dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA) Mumbai sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi Rabu.

Mereka kemudian diiring sepasukan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk proses dokumentasi.