NILAI - Pemandu e-hailing cedera pada bibir dan dahi selepas dikatakan dipukul penumpang warga China di Bandar Baru Nilai di sini pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pergaduhan sekitar jam 3.40 pagi daripada seorang lelaki tempatan.
"Berdasarkan laporan yang diterima, kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham ketika perkhidmatan penghantaran penumpang sebelum berlaku pertengkaran yang membawa kepada pergelutan antara kedua-dua pihak.
"Akibat kejadian ini pemandu e-hailing mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan diminta untuk bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian ini ke balai polis berhampiran.
"Pihak polis juga menasihatkan semua pengguna perkhidmatan e-hailing dan penumpang supaya sentiasa berhemah, mematuhi peraturan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi atau konflik," katanya.