Denda hingga RM500 jika buang sampah merata-rata ketika Thaipusam

Iklan
Individu yang sengaja tidak mematuhi peraturan dan membuang sampah, tindakan kompaun boleh dikenakan antara RM250 hingga RM500 di bawah Seksyen 47(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Gambar kecil: Rajendran

GEORGE TOWN – Individu yang sengaja membuang sampah sepanjang sambutan Thaipusam bakal dikenakan tindakan kompaun antara RM250 hingga RM500 mengikut Seksyen 47(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran berkata, penguatkuasaan akan dilaksanakan secara serius, meskipun pendekatan awal yang diambil bersifat pendidikan bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga kebersihan.

Iklan
Iklan

“Bagaimanapun, jika peringatan tidak diendahkan, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, sembilan pegawai penguat kuasa MBPP ditugaskan bagi melaksanakan pemantauan ‘anti-litter’ bermula 31 Januari hingga 3 Februari ini.

Iklan

Menurutnya, pihak MBPP turut menyediakan 27 tong sampah tambahan di kawasan tumpuan sepanjang laluan perarakan dan sekitar kuil sempena sambutan perayaan Thaipusam.

Katanya, langkah tersebut adalah sebahagian daripada komitmen MBPP dalam memastikan tahap kebersihan bandar sentiasa terpelihara, terutamanya semasa musim perayaan keagamaan yang menjana jumlah sisa pepejal tinggi dalam tempoh singkat.

Iklan

“Thaipusam merupakan antara perayaan terbesar di Pulau Pinang dengan anggaran 100 tan sisa pepejal dijana sepanjang sambutan, termasuk 20 hingga 30 tan sisa makanan di bahagian pulau,” jelas beliau.

Justeru, MBPP melaksanakan beberapa inisiatif pengurusan sisa pepejal secara lestari, termasuk pelencongan sisa kelapa untuk dijadikan bahan bakar alternatif (green fuel) dengan anggaran 30 hingga 40 tan sisa dijangka dipesongkan daripada tapak pelupusan.

Selain itu, projek perintis pemprosesan sisa makanan menggunakan mesin Food Waste Separator turut dijalankan di Jalan Utama.

“Saya menyeru semua panthal yang menyediakan makanan agar membuang sisa ke dalam tong hijau berlabel ‘Sisa Makanan Sahaja @ Leftovers Only’ yang telah disediakan.

“Sisa ini akan diproses untuk mengasingkan air, minyak terpakai dan sisa makanan kering, sekali gus mengurangkan sehingga 50 hingga 60 peratus sisa makanan yang dijana,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa sisa makanan kering tersebut akan diproses menjadi kompos selari dengan dasar ekonomi kitaran.

Dalam pada itu, MBPP turut mengarahkan agar sisa susu yang dijana semasa Thaipusam dihantar ke Ampang Jajar untuk diproses menggunakan teknologi Anaerobic Digester bagi menjana tenaga hijau.

“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, malah membantu mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan, penghasilan larut lesap (leachate) dan masalah bau.

“Saya juga ingin mengingatkan peniaga dan penganut agar mematuhi syarat ditetapkan termasuk larangan penggunaan bekas polistirena, pengasingan sisa makanan, penyediaan tong sampah bertutup serta pematuhan kebersihan makanan,” katanya.

Tambah beliau, peniaga juga digalakkan mengamalkan transaksi tanpa tunai, Bring Your Own Container (BYOC), Bring Your Own Bag (BYOB) serta pengurangan penggunaan plastik sekali guna.

“Usaha bersepadu ini membuktikan bahawa perayaan kebudayaan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar boleh dilaksanakan seiring demi membina Pulau Pinang yang lebih bersih dan lestari,” katanya.