ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi tahun 2026 iaitu RM9, RM15 dan RM23, berbanding hanya dua kadar pada tahun sebelumnya.
Pengerusi LZNK, Datuk Seri Norizan Khazali berkata, penetapan kadar itu dibuat berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam di negeri ini.
Menurutnya, penetapan tersebut dibuat mengikut ukuran satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras, dan umat Islam di Kedah digalakkan menunaikan zakat fitrah berdasarkan jenis beras yang menjadi makanan harian masing-masing.
“Dengan limpah perkenan Tuanku Sultan Kedah, kadar zakat fitrah yang ditetapkan di negeri ini ialah RM9 bagi beras tempatan, RM15 bagi beras import dan seumpamanya, serta RM23 bagi beras basmathi dan seumpamanya,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.
Jelas beliau, LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM13.5 juta pada tahun ini berbanding RM12.9 juta pada tahun lalu, dengan agihan dijangka kepada 27,300 asnaf dalam kalangan fakir, miskin, mualaf dan fisabilillah.
Menurutnya, bagi memudahkan orang ramai, LZNK menyediakan 23 saluran bayaran secara dalam talian termasuk portal dan aplikasi rasmi LZNK, e-dompet serta perbankan internet.
“Seramai 2,788 ejen amil dan 183 agensi dilantik turut menggunakan kaedah digital seperti Kod QR dan sistem MyAmil.
“Resit pembayaran akan diberikan secara digital, manakala kaedah kupon manual masih disediakan melalui ejen amil terpilih,” ujarnya.
Dalam pada itu, jumlah kutipan keseluruhan zakat dan hasil lain di Kedah tahun lalu mencecah RM322.86 juta, meningkat RM18.05 juta atau 5.92 peratus berbanding tahun 2024, sekali gus melepasi sasaran RM318.88 juta.
Tambah Norizan, sebanyak 187,160 pembayar zakat direkodkan tahun lalu, termasuk 42,174 pembayar baharu, dengan 87.34 peratus kutipan diterima secara tanpa tunai, mencerminkan keberkesanan inisiatif pendigitalan LZNK.
“Bagi prestasi agihan pula, LZNK mengagihkan sebanyak RM346.14 juta kepada lapan golongan asnaf di seluruh negeri, manakala kutipan sedekah yang direkodkan adalah sebanyak RM584,302.66 daripada **8,820 penyumbang,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman, berkata kenaikan kadar zakat fitrah tahun ini berbanding tahun lalu didorong oleh faktor peningkatan harga barangan, termasuk beras.
Jelasnya, difahamkan kadar zakat fitrah di kebanyakan negeri lain juga bermula antara RM9 hingga RM10, kecuali sebuah negeri yang dijangka mengekalkan kadar RM7 bagi beras tempatan.