KKM rampas RM13.4 juta barangan disyaki produk tidak sah

Iklan
Produk kesihatan tidak berdaftar yang dirampas KKM. Foto KKM

ALOR SETAR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas produk tidak berdaftar membabitkan nilai anggaran RM13.4 juta merangkumi 227 perkara termasuk peranti, mesin, bahan mentah dan dokumen berkaitan dalam satu tindakan penguatkuasaan di sini pada Isnin.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Nor'Aishah Abu Bakar berkata, tindakan dibuat hasil pemeriksaan ke atas 11 premis selain pemantauan dan risikan yang dijalankan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia membabitkan penjualan produk kesihatan tidak berdaftar disyaki mengandungi racun berjadual yang melanggar peruntukan undang-undang bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.

"Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) telah menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap produk dipercayai ubat tradisional Cina keluaran tempatan tidak berdaftar disyaki mengandungi bahan terlarang seperti steroid, allopurinol dan bahan lain yang disenaraikan bawah Akta Racun 1952.

Iklan

"Turut dirampas tiga peranti digital serta tiga unit mesin pengilangan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kesalahan yang melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 boleh dihukum bawah Seksyen 12(1), Akta Jualan Dadah 1952.

Iklan

Jika disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Beliau berkata, bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

"Jika disabitkan kesalahan bawah Akta Racun 1952, pihak berkaitan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Tindakan penguatkuasaan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan CPF Kedah dalam membanteras penjualan dan pengedaran produk kesihatan tidak sah di pasaran Malaysia," katanya.

Beliau menambah, operasi turut melibatkan kolaborasi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM dan beberapa CPF negeri lain iaitu CPF Perlis, Perak, Selangor, Terengganu dan Kelantan.

"Tindakan ini juga merupakan satu bentuk intervensi kesihatan awam yang kritikal dalam usaha melindungi rakyat daripada risiko kesihatan serius akibat penggunaan produk kesihatan tidak sah, tidak berkualiti dan berbahaya.

"Seiring dengan itu, KKM turut memperkukuh intervensi pendidikan dan advokasi awam menerusi kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai risiko penggunaan produk kesihatan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Maklumat lanjut mengenai kempen TOBaTS boleh disemak di laman sesawang https://pharmacy.moh.gov.my/tobats.

"Pihak peniaga, pengedar dan penyedia platform e-dagang diingatkan supaya bertanggungjawab memastikan hanya produk kesihatan berdaftar dengan nombor MAL dan mempunyai pelekat keselamatan hologram Farmatag sahaja dikendalikan.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyemak status pendaftaran produk kesihatan melalui laman sesawang NPRA www.npra.gov.my di ruangan 'Product Search' sebelum membuat sebarang pembelian," jelas beliau.

Nor'Aishah berkata, orang awam digalakkan menyalurkan aduan atau maklumat berhubung penjualan ubat-ubatan atau produk kesihatan yang meragukan melalui mana-mana saluran disediakan.