Kes kebakaran terbuka melonjak 300 peratus sejak 1 Januari

Iklan
Keadaan terkini kebakaran gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai.

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan peningkatan ketara kes kebakaran terbuka di seluruh negara apabila sebanyak 2,917 kes dilaporkan bagi tempoh 1 hingga 27 Januari, meningkat hampir 300 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bahagian Pengurusan Korporat JBPM, memaklumkan dalam tempoh tersebut, kebakaran terbuka melibatkan kawasan seluas 328 hektar seluruh negara dengan 287 hektar daripadanya telah berjaya dipadamkan manakala baki 41 hektar masih dalam tindakan pemadaman oleh pasukan bomba.

Iklan
Iklan

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan yang amat signifikan berbanding tempoh sama pada tahun-tahun sebelumnya iaitu 729 kes pada tahun lalu yang melibatkan keluasan 11.19 hektar serta 66 kes pada 2024 dengan keluasan 55.03 hektar," katanya.

Menurutnya, kebakaran melibatkan kawasan belukar dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada jumlah keseluruhan kes kebakaran terbuka apabila mencatatkan sebanyak 2,187 kes (75 peratus) sejak 1 hingga 27 Januari.

Iklan

"Sebanyak 440 kes (60 peratus) direkodkan pada tahun lalu dan 53 kes (80 peratus) pada 2024 bagi tempoh yang sama," katanya.

Menurut kenyataan itu, selain itu, kebakaran di tapak pelupusan sampah haram turut menyumbang kepada peningkatan jumlah kumulatif kes kebakaran terbuka di seluruh negara apabila sebanyak 431 kes direkodkan sehingga Selasa.

Iklan

"Sebanyak 244 kes direkodkan pada tahun lalu dan hanya sembilan kes pada 2024 bagi tempoh yang sama," katanya.

Katanya, peningkatan ketara kes kebakaran terbuka ini boleh dikaitkan dengan keadaan cuaca semasa yang panas, kering serta berangin yang dijangka berterusan di kebanyakan kawasan Semenanjung Malaysia, khususnya di bahagian utara, sehingga 31 Januari.

"Ia berdasarkan analisis terhadap model-model ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia),

"Keadaan cuaca panas, kering dan berangin ini berpotensi meningkatkan risiko kemerebakan kebakaran terbuka, terutamanya melibatkan kawasan belukar dan tapak pelupusan sampah haram," katanya.

Menurutnya, setakat ini, kes kebakaran terbuka yang masih aktif adalah di Johor yang meliputi kawasan seluas 196.5 hektar melibatkan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Desa Selatan Kampung Lepau serta Tapak Pelupusan Sampah Bukit Tuatau Bandar Penawar.

"Operasi pemadaman sedang giat dijalankan oleh JBPM Johor.Sehubungan itu, JBPM sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dan menasihatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka.

"Orang ramai perlu mematuhi peraturan dan langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan nyawa, harta benda dan alam sekitar," ujarnya.