Isu ladang: Rundingan Felda, Terengganu hampir capai penyelesaian

Iklan
Ahmad Shabery (kanan) ketika hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Buffet Sinar Ramadan 2026 di Felda Residence Kuala Terengganu pada Selasa.

KUALA TERENGGANU – Rundingan melibatkan isu pengurusan tanah ladang komersial antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Kerajaan Terengganu kini berada pada tahap positif selepas beberapa persetujuan penting dicapai.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, walaupun hasil rundingan tersebut mencapai perkembangan memberangsangkan, butiran lanjut mengenainya tidak boleh didedahkan buat masa ini kerana masih tertakluk kepada proses dan persetujuan bersama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan muktamad mengenai perkara itu masih perlu melalui beberapa peringkat kelulusan.

"Dalam isu ini semua pihak menunjukkan kesediaan untuk duduk berbincang secara matang bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan dengan baik dan berpanjangan demi kepentingan bersama.

Iklan

"InsyaALLAH, saya berharap dalam masa terdekat satu penyelesaian yang lebih berkekalan dan positif dapat dicapai dan diterima oleh semua pihak,"katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Buffet Sinar Ramadan 2026 di Felda Residence Kuala Terengganu di sini pada Selasa.

Jelas beliau lagi, sebarang keputusan berkaitan perlu melalui proses di peringkat Lembaga Felda sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi termasuk Kementerian Kewangan sekiranya melibatkan implikasi kewangan.

Iklan

Mengulas mengenai kedudukan rundingan, beliau memaklumkan perbincangan kini hampir ke peringkat akhir bagi mencapai titik persetujuan melalui sikap tolak ansur dan saling memahami antara Felda dan kerajaan negeri.

Katanya, walaupun tanah yang terlibat dikendalikan oleh FGV Holdings Berhad, tanah tersebut merupakan sumber pendapatan penting bagi menampung keperluan peneroka termasuk pelbagai sumbangan dan bantuan tanpa menggunakan hasil peneroka sendiri.

"Sebanyak 10 ladang yang terlibat masih beroperasi sehingga kini," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana mengambil pendekatan berhemah berhubung isu ladang yang dikendalikan oleh anak syarikat Felda itu.

Sebelum ini, Terengganu mengeluarkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) iaitu larangan menceroboh tanah yang diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar selepas mendakwa ia telah diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan selama lebih 40 tahun oleh Felda.

Penyerahan notis terbabit dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.

Untuk rekod, tanah berkenaan yang diusahakan Felda sejak 1985 melibatkan kawasan seluas 14,791 hektar, termasuk Ladang FGV Setiu 1 seluas 1,742 hektar.