KEMAMAN – Tiga pasangan pengantin Orang Asli termasuk dua daripadanya yang baru memeluk Islam, selamat diijabkabulkan dalam majlis perkahwinan yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Pergam di sini pada Ahad.
Majlis itu diraikan secara sederhana namun meriah dengan kehadiran kira-kira 100 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, penduduk kampung dan wakil agensi berkaitan.
Tiga pasangan pengantin tersebut ialah Khairul Anuar, 33, dengan pasangannya Nurul Izzatie Andol, 25; Abby Shahril Soki, 27, dan Nurul Nadhira Abdullah, 18; serta Mohammad Khairul Nizam Rosman, 23, dan Rosnah Misa, 20.
Menurut Khairul, dia bersyukur kerana perkenalan singkat bersama pasangannya menerusi laman sosial akhirnya berakhir di jenjang pelamin.
"Saya berkenalan dengan isteri saya melalui media sosial dan bersyukur kerana dapat mencapai impian mendirikan rumah tangga bersamanya," katanya ketika ditemui di majlis berkenaan pada Ahad.
Kesemua pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah dari Pejabat Agama Kemaman, Mohamad Faizu Zakaria di Surau An-Nur, Kampung Sungai Pergam sebelum diarak sejauh 50 meter ke dewan tersebut bagi majlis persandingan.
Majlis perkahwinan itu dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Negeri Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Terengganu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sementara itu, Pengerusi Perkim Terengganu, Profesor Ramle Abdullah berkata, penganjuran majlis itu merupakan sebahagian daripada usaha kebajikan dan dakwah Perkim dalam memenuhi keperluan serta permintaan masyarakat Orang Asli setempat.
"Pada awalnya terdapat permintaan untuk menguruskan perkahwinan dua pasangan, namun selepas proses berjalan, jumlah itu bertambah menjadi tiga pasangan.
"Syukurlah dengan kerjasama ibu bapa, penduduk kampung, penggerak masyarakat serta agensi terlibat, urusan pernikahan dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya.
Menurut beliau, dua pengantin perempuan iaitu Rosnah yang berasal dari Rompin, Pahang dan Nurul Izzatie dari Pos Belatim, Gua Musang, Kelantan merupakan saudara baharu selepas memeluk agama Islam pada November tahun lalu.
Beliau berkata, selepas perkahwinan, pasangan yang baru memeluk Islam akan terus dibimbing menerusi penggerak masyarakat dan guru agama yang dilantik oleh Jabatan Agama, selain pemantauan berterusan oleh Perkim.
Tambah beliau, Perkim akan terus berperanan sebagai pemudah cara bagi membantu urusan kebajikan, pendidikan agama dan kesejahteraan komuniti Orang Asli di Terengganu.
"Kampung Sungai Pergam mempunyai kira-kira 175 keluarga dengan lebih 600 penduduk dan usaha dakwah serta kebajikan akan diteruskan dari masa ke masa mengikut keperluan masyarakat setempat.
"Ketika ini, 100 peratus penduduk Orang Asli di kampung ini telah memeluk Islam, malah jika ada yang ingin mengambil penduduk kampung ini menjadi pasangan, individu terbabit perlulah memeluk Islam terlebih dahulu," katanya.