Lebih 4 juta kenderaan tidak aktif melebihi 3 tahun berpotensi terbiar

Iklan
Anthony Loke (kiri) ketika sidang akhbar selepas majlis peluncuran Program Geran Padanan Bagi Penggantian Kenderaan Lama di Jewel Sonic Sdn Bhd hari ini. - Foto: Bernama

PUTRAJAYA – Sebanyak 4.07 juta atau 20.7 peratus kenderaan di negara ini dikenal pasti mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) tidak aktif selama tiga tahun atau lebih sekali gus berpotensi dikategorikan sebagai kenderaan terbiar yang menimbulkan risiko keselamatan, pencemaran alam sekitar serta gangguan kepada komuniti setempat.

Lebih membimbangkan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, masih ramai rakyat menggunakan kenderaan yang berusia lebih 20 tahun di atas jalan raya bukan kerana tidak mahu menukar kenderaan tetapi disebabkan kekangan kewangan dan keperluan harian.

Iklan
Iklan

"Kenderaan lama lazimnya kurang selamat, lebih kerap rosak, tidak cekap bahan api dan tidak lagi memenuhi piawaian keselamatan semasa," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Geran Padanan Penggantian Kenderaan Lama di sini, pada Selasa.

Menurutnya, geran tersebut merupakan inisiatif bersasar yang diperkenalkan bagi menggalakkan pelupusan kenderaan uzur secara tersusun dan bertanggungjawab.

Iklan

Beliau berkata, melalui Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan program berkenaan, dengan sasaran minimum 5,000 pemilik kenderaan lama menggantikan kenderaan masing-masing kepada model lebih selamat serta cekap.

Di bawah program tersebut, setiap penerima layak akan menerima geran padanan sehingga RM2,000 daripada kerajaan, selain insentif setara daripada pengeluar kenderaan tempatan, sekali gus membolehkan jumlah rebat mencecah sehingga RM4,000 bergantung kepada model yang dipilih.

Iklan

Anthony menjelaskan, pendekatan geran padanan itu memastikan kerajaan, industri automotif dan rakyat berkongsi tanggungjawab, di samping membolehkan dana awam dimanfaatkan secara lebih berkesan.

“Setiap kenderaan lama yang digantikan melalui program ini adalah satu risiko keselamatan yang dapat dikurangkan, serta satu langkah ke arah mewujudkan jalan raya lebih selamat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelaksanaan program tersebut turut disokong oleh Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Secara Dalam Talian (e-DeREG) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudahkan pemilik membatalkan pendaftaran kenderaan secara digital tanpa perlu hadir ke kaunter.

"Kenderaan lama yang terlibat akan dilupuskan menerusi Authorised Automotive Treatment Facility (AATF) iaitu pusat pelupusan berlesen yang memastikan proses pelupusan dilakukan secara sah, profesional serta mematuhi piawaian alam sekitar.

"Langkah ini supaya kita dapat memastikan kenderaan lama tidak kembali ke jalan raya secara haram, selain dapat mencegah penyalahgunaan identiti kenderaan serta nombor pendaftaran," katanya.

Selain manfaat kepada rakyat, program berkenaan turut menyokong industri automotif tempatan dengan merangsang permintaan domestik, di samping menggiatkan aktiviti ekonomi dalam rantaian industri automotif dan sektor kitar semula.

Anthony berkata, sekiranya program itu berjaya dan mendapat sambutan menggalakkan, kementerian tidak menolak kemungkinan untuk mengemukakan permohonan peruntukan tambahan pada masa hadapan.

“Ini adalah satu intervensi dasar yang praktikal dan berimpak tinggi, selaras dengan pendekatan Kerajaan Madani yang menekankan hasil sebenar berbanding retorik,” jelas beliau sambil menggesa rakyat yang layak supaya memanfaatkan peluang tersebut.